Home Pendapat Muafakat politik Johor

Muafakat politik Johor

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad ketika membentangkan Belanjawan Johor 2021 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor (DUN) di Bangunan Sultan Ismail.

TANGGAL 6 Disember 2020 merupakan hari yang mendebarkan dalam politik Johor. Kepimpinan Datuk Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar Johor teruji untuk meluluskan Bajet 2021.

Ini susulan daripada keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang meluluskan undi percaya kepada Menteri Besar Perak. Bezanya, keputusan di Johor begitu harmoni yang mengambil semangat Muafakat Bangsa Johor.

Budaya politik sebeginilah yang didahagakan oleh rakyat.

Ketokohan dan kewibawaan Datuk Hasni memang luar biasa. Beliau mempunyai keupayaan untuk berdiplomasi dengan pembangkang, tetapi tidak meninggalkan prinsip perjuangan parti yang didokongnya. Ucapan penggulungan dalam DUN bertambah semangat dengan kehadiran YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyddin Yassin, merangkap ADUN Gambir.

Selaku peneraju Kerajaan Negeri Johor, beliau memberi jaminan bahawa kesemua isu yang dibangkitkan dalam Dewan Undangan Negeri akan diberi perhatian dan diambil tindakan sebaik mungkin oleh Kerajaan Negeri Johor. Ia selaras dengan visi dan misi serta agenda Kerajaan Negeri Johor, yang mengutamakan agenda pembangunan rakyat secara inklusif.

Datuk Hasni bukan orang baru dalam dunia politik. Beliau menghayati kewajipan seorang pemimpin. Beliau memegang falsafah kepimpinan seperti mana yang dinyatakan oleh Dr. Tenas Effendy (2013):

Menjadi pemimpin banyak kewajipan
Membawa umat kepada kesejahteraan
Mana yang kusut wajib diselesaikan
Mana yang keruh wajib dijernihkan
Mana yang melintang wajib diluruskan
Mana yang berbonggol wajib ditarahkan’
Mana yang menyalah wajib dibetulkan.

Semasa ucapan penggulungan, Datuk Hasni mengulangi falsafah dan prinsip Sistem Raja Berperlembagaan dan Sistem Demokrasi Berparlimen.

Menurutnya, sebagai penggubal undang-undang, para pemimpin perlu mendalami dan menghayati perlembagaan negeri yang dinamakan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor, yang diasaskan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar pada 14 April 1895. Di sinilah sistem pemerintahan beraja menjadi tonggak utama dalam Kesultanan Johor Moden.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa sistem demokrasi yang dilaksanakan mengabsahkan kuasa rakyat dalam memilih pemimpin.

Justeru sistem demokrasi membenarkan perbezaan pendapat; hak untuk mengeluarkan pendapat, dan hak untuk didengari dan hak untuk mendengar. Ini membuatkan sistem demokrasi menjadi dinamik dan responsif terhadap kehendak rakyat.

Justeru itu, sejak Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Johor mulai bulan Mac 2020, sedikit sebanyak beliau telah membuat naratif baharu mengenai pembentukan sebuah kerajaan dan sistem demokrasi yang diamalkan, di samping mengukuhkan iltizam untuk mengekalkan kedaulatan sistem pemerintahan raja berperlembagaan di Johor.

Sebenarnya, suasana politik Johor masa kini agak unik dan istimewa. Buat pertama kali dalam sejarah, negeri Johor mempunyai Speaker Undangan Negeri yang berlainan parti dan ideologi politik.

Mereka bukan anggota parti yang memerintah. Namun begitu, atas tagline “Muafakat itu Berkat”, kita dapat menyaksikan sistem demokrasi berjalan dengan licin dan lancar.

Natijahnya, permuafakatan politik Bangsa Johor kelihatan lebih matang dan terbuka.

Datuk Hasni bukan pemimpin retorik. Beliau pemimpin berjiwa besar. Beliau beranggapan DUN adalah sebuah keluarga besar bernama Johor.

Selepas menghargai idea, kritikan dan pandangan pihak pembangkang, beliau menyantuni mereka dengan menaikkan peruntukan program kebajikan rakyat sebanyak RM150,000.

Sebagai tambahan, peruntukan sebanyak RM50,000 diberi secara one-off kepada semua ADUN untuk menangani penularan wabak COVID-19 di kawasan masing-masing.

Tindakan ini disambut positif oleh banyak pihak termasuk ADUN Luyang, Sabah. Beliau berharap Ketua Menteri Sabah mencontohi kepimpinan Datuk Hasni yang lebih demokratik.

Dengan perasaan rendah diri cara Johor, Datuk Hasni menyatakan bahawa tiada sesiapa pun layak untuk mengiktiraf diri mereka sebagai ‘hero’ atau ‘pahlawan’ dalam memperkasakan sistem demokrasi.

Beliau berpendapat bahawa sesiapa pun yang menjadi Kerajaan, adalah menjadi tugas hakiki mereka untuk memperkuatkan demokrasi yang didokong oleh semangat idealisme.

Sebenarnya pemikiran politik Datuk Hasni agak serasi dengan karakter Melayu Johor sepertimana dalam puisi Datuk Dr. Usman Awang:

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Kepimpinan transformasi Datuk Hasni disulami dengan perasaan budiman yang tinggi, apabila beliau turut menjemput Ketua Pembangkang, ADUN Parit Yaani untuk naik ke pentas utama bagi majlis pelancaran Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030, yang disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri.

Episod ini jarang berlaku di tempat-tempat lain.

Datuk Hasni menganggap pemimpin PH bukan ‘orang asing’ dalam Kerajaan Negeri Johor.

Menurutnya, para pemimpin PH adalah ‘rakan strategik’ dalam memaju dan memakmurkan negeri Johor. Sebagai ‘rakan strategik’, beliau menghargai pandangan walaupun mungkin wujud perbezaan daripada segi pemikiran dan ideologi.

Sebenarnya destinasi akhir semua pemimpin adalah sama, iaitu menjadikan Johor negeri yang dicintai ini, lebih maju demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negerinya.

Sebagai pemimpin untuk mengutamakan ketelusan, Datuk Hasni tiada halangan atas cadangan pembangkang untuk terlibat dalam beberapa jawatankuasa di peringkat DUN.

Menurutnya, penubuhan Jawatankuasa Pilihan DUN amat penting sebagai salah satu kaedah mendapatkan hasil terbaik untuk memenuhi kepentingan dan kesejahteraan rakyat negeri ini. Menurutnya, perkara tersebut akan dipertimbangkan dan perlu dilaksanakan berpandukan perlembagaan negeri iaitu Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

Pada masa yang sama, Datuk Hasni membuat reformasi DUN dengan melantik 10 orang Pegawai Penyelidik yang berperanan membantu ADUN termasuk daripada pihak pembangkang. Pegawai Penyelidik ini akan menjalankan tugas penyelidikan berkaitan pengurusan dan perbahasan DUN, sekali gus menjadikan DUN sebagai wahana perbahasan yang lebih dinamik.

Sambil menyantuni pembangkang, Datuk Hasni mengajak para pemimpin mengukuhkan Muafakat Johor. Menurutnya, ”Johor Darul Ta’zim ini adalah milik kita; milik kita semua Bangsa Johor! Jadi, marilah sama-sama kita jaga dan majukan Johor Darul Ta’zim. Inilah maruah kita, inilah tanah air kita, di sinilah kita akan disemadikan, marilah kita jayakan pembangunan negeri demi rasa kecintaan yang tinggi terhadap nusa dan bumi bertuah yang amat bersejarah ini”.

Beliau menarik perhatian khalayak dengan menyorot sejarah yang menyaksikan bagaimana kepimpinan Kesultanan Johor Moden yang bermula 1855, telah mengorak langkah dengan kudrat, keringat dan air mata, dan membekas legasi kegemilangan pembangunan dan pemodenan Johor, untuk sama-sama diteruskan kelangsungannya, untuk masa kini dan diwariskan kepada generasi masa depan.

Dalam pada itu, kepimpinan Datuk Hasni sangat merakyat. Beliau menginsafi tentang peningkatan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat.

Ini disebabkan penutupan pelbagai sektor ekonomi akibat penularan COVID-19. Tambahan pula, penutupan Tambak Johor dan Linkedua telah meningkatkan jumlah pengangguran. Justeru, Kerajaan Negeri menggerakkan pusat-pusat latihan untuk memperbanyakkan program latihan dan latihan semula dalam kalangan generasi muda.

Gagasan Muafakat Johor juga mengutamakan pembangunan ekonomi. Justeru, selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor, Datuk Hasni telah memperkenalkan tujuh Ikhtiar Makmur Johor sebagai pelan keluar bagi merancakkan dan memulihkan ekonomi Johor.

Antaranya agenda Jaminan Makanan Johor, Johor Digital dan penubuhan Johor Economic, Tourism and Culture Office (JETCO) di Singapura, sebagai pencetus Ekonomi Baharu pasca COVID-19. Kerajaan Negeri juga mengangkat gagasan pemikiran ekonomi Majlis Ekonomi Ibrahim Johor (IJEC), pelan Pertumbuhan Singapura-Johor-Riau, pelan Jajaran Ekonomi Baharu dan Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030.

Selain itu, beliau begitu gigih dan komited mengetengahkan isu pembukaan sempadan antara Johor dengan Singapura, walaupun ia merupakan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Johor amat prihatin dan insaf terhadap kesejahteraan rakyat keseluruhannya. Usaha-usaha ini juga membuktikan Kerajaan Negeri Johor amat komited agar pembukaan sempadan dapat direalisasikan segera tanpa mengenepikan kepentingan kesihatan dan keselamatan rakyat.

Pada hemat penulis, negeri Johor amat beruntung kerana pendekatan, cara dan budaya politiknya amat serasi dengan tagline Kesultanan Johor Moden iaitu “Muafakat itu Berkat”. Hal ini diserlahkan dengan kesantunan dan kebernasan berbahas dalam kalangan wakil rakyat.

Ini ditambah dengan kebijaksanaan Speaker DUN dalam mengendalikan persidangan dewan dengan tersusun dan menyantuni kesemua Ahli-ahli Dewan untuk terlibat dalam perbahasan.

Dalam penggulungan Bajet 2021, Datuk Hasni bersama barisan Exco serta penjawat awam Johor, berikrar akan terus berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat Bangsa Johor. Menurutnya, “marilah kita sama-sama berganding bahu – “ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing” – untuk menjadikan Johor semakin makmur dan sama-sama mengharungi dan menangani pasca pandemik Covid-19.

Marilah kita melangkah sederap dan sama-sama berusaha mengembalikan semula kemakmuran negeri serta membawa pembangunan yang berpaksikan kesejahteraan rakyat Bangsa Johor”.

Datuk Hasni berharap berkat dua tagline Kesultanan Johor Moden iaitu “Kepada Allah Berserah” dan “Muafakat itu Berkat”, Insya-Allah Negeri Johor akan berjaya mengharungi cabaran semasa dan mencapai kejayaan gemilang masa depan. Sesungguhnya, Johor tetap nombor #01 yang menyumbang kepada peradaban tinggi di peringkat nasional dan global. Di sinilah, pantun berikut menggambarkan keindahan Muafakat Politik Bangsa Johor.

Negeri Johor paling selatan
Negeri indah tidak terperi
Bangsa Johor kukuh ikatan
Muafakat Johor jadi penyeri.- MalaysiaGazette

 

Dr. Kassim bin Thukiman
Penulis adalah Profesor di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM.

Bidang kepakaran beliau ialah sejarah dan sains politik. Beliau juga adalah Ahli Jumaah Majlis Diraja Johor dan Ahli Majlis Penasihat kepada Menteri Perpaduan Negara.