KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan menjadikan latihan tambahan sebagai syarat kepada kelab-kelab dan pengendali swasta bagi memastikan keselamatan orang awam dan semua pemain industri penerbangan sentiasa diutamakan setiap masa.
Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kecekapan dalam kalangan peminat penerbangan.
Kementerian Pengangkutan berkata, CAAM juga akan membuat kajian semula terhadap peraturan dan prosedur sedia ada untuk mengenal pasti sebarang kekurangan serta memperbaikinya demi memastikan kemalangan sama tidak lagi berulang.
”Keselamatan orang ramai termasuk peminat-peminat penerbangan swasta sentiasa menjadi keutamaan, tanpa menjejaskan pertumbuhan perniagaan dan industri penerbangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini bagi mengulas nahas udara membabitkan dua buah helikopter di Taman Melawati pada 8 November lalu.
Kementerian Pengangkutan memaklumkan siasatan penuh berkaitan insiden ini masih lagi berjalan.
Menurutnya, objektif utama penyiasatan adalah untuk menentukan keadaan dan penyebab kemalangan dengan tujuan untuk melindungi nyawa dan mencegah kemalangan di masa depan.
MOT juga menegaskan bahawa penyiasatan yang dilaksanakan ini tidak bertujuan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti. – MalaysiaGazeette