Home Dunia Covid-19: PM Thailand ancam laksana darurat

Covid-19: PM Thailand ancam laksana darurat

Festival Muzik Big Mountain yang diadakan di daerah Nakhon Ratchasima, Thailand, Sabtu lalu. Foto penganjur konsert.

BANGKOK- Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha mengancam untuk melaksanakan darurat dan menghalang perhimpunan melebihi lima orang sekiranya situasi wabak Covid-19 di negara itu semakin buruk.

Bercakap kepada media selepas kontroversi melibatkan pihak berkuasa yang cuba untuk menamatkan Festival Muzik Big Mountain lebih awal pada hujung minggu lalu, Prayut tidak menafikan sekali lagi menggunakan kuasanya untuk menghalang perhimpunan besar-besaran.

Ketika ditanya sama ada terdapat keperluan untuk mengharamkan perhimpunan sosial, Prayut berkata, ia perlu dilakukan sekiranya terdapat penularan baharu.

Ketika ini katanya, situasi Covid-19 di Thailand tidak memerlukan langkah tersebut diambil.

Perhimpunan sosial melibatkan lebih daripada lima orang telah diharamkan pada Mac bagi menghalang penularan Covid-19, tegasnya.

“Apa yang patut kita lakukan sekiranya berlaku penularan Covid-19 selepas konsert diadakan di Nakhon Ratchasima? Atau berlakunya penularan selepas konsert di Bangkok?

“Apa yang perlu kerajaan buat? Kita terpaksa mengembalikan semula sekatan. Jadi, semua orang perlu membantu.

“Perintah darurat terpaksa dilaksanakan apabila perlu,” katanya.

Namun begitu, sambutan tahun baharu dan acara kiraan detik menjelang tahun baharu tetap dibenarkan dengan peraturan ketat terutamanya di Bangkok, kata Prayut.

Prayut menegaskan, arahan untuk menamatkan konsert berkenaan tidak bermotifkan politik dan beliau tidak tahu mengenai kandungan persembahan tersebut.- MalaysiaGazette

+ posts