KUALA LUMPUR – Laporan Tinjauan Kelestarian KPMG Antarabangsa 2020 mendapati 80 peratus daripada 250 syarikat terbesar dunia kini melaporkan tentang kelestarian.
Menurutnya, laporan kelestarian di Asia Pasifik telah meningkat sebanyak enam peratusan mata sejak tahun 2017 kepada 84 peratus.
Malaysia antara pemimpin global yang mendorong trend dengan 99 peratus daripada 100 syarikat teratas di negara ini menerbitkan laporan kelestarian.
Kedudukan ini menjadikan Malaysia berada pada tempat kedua di belakang Jepun (100%) dan mendahului India (98%), Taiwan (93%) dan Australia (92%).
Tambahan pula, 97% daripada 100 syarikat teratas di Malaysia memasukkan maklumat kelestarian dalam laporan tahunan mereka.
Tinjauan global KPMG mengkaji pelaporan korporat daripada 5,200 syarikat ─ 100 syarikat teratas berdasarkan pendapatan di 52 negara dan bidang kuasa yang berbeza, termasuk Malaysia.
Ini menyediakan gambaran terperinci mengenai trend global dalam pelaporan kelestarian dan menawarkan pandangan untuk pemimpin perniagaan, lembaga pengarah syarikat dan profesional kelestarian.
Tinjauan ini juga berfungsi sebagai panduan kepada pelabur, pengurus aset dan agensi penarafan yang kini menjadi faktor maklumat kelestarian alam persekitaran, maklumat sosial dan tadbir urus (ESG) dalam penilaian prestasi dan risiko korporat mereka.
Ketua Tadbir Urus dan Kelestarian KPMG di Malaysia, Kasturi Nathan berkata, walaupun kadar kemasukan tinggi data kelestarian Malaysia dalam pelaporan tahunan didorong oleh Bursa Malaysia, tetapi penyertaan aktif ini daripada syarikat-syarikat teratas Malaysia cukup menggalakkan.
”Sebenarnya, kami melihat pemahaman semakin meningkat di antara lembaga pengarah dan syarikat Malaysia mengenai pentingnya beroperasi dengan cara yang bertanggungjawab dan kesan isu ESG terhadap masyarakat dan kelestarian ekonomi yang secara langsung berkaitan dengan prestasi kewangan jangka panjang dan nilai korporat,” katanya.
Berdasarkan kajian mengenai pendedahan di antara 200 syarikat Teratas di Malaysia, Kasturi berkata, sebahagian besar syarikat telah mengakui risiko tadbir urus dan sosial sebagai risiko material.
Ini mungkin disebabkan oleh fakta bahawa perkara-perkara ini semakin diakui sebagai komponen ketahanan perniagaan, yang mempengaruhi operasi syarikat dan kesinambungan perniagaan.
Namun, di sebalik kemajuan Malaysia yang baik dalam melaporkan kadar, Kasturi juga menunjukkan bidang peningkatan yang perlu ditumpukan oleh syarikat Malaysia, khususnya pada persepsi bahawa risiko yang berkaitan dengan ESG terbatas pada kepatuhan dan pelaporan. – MalaysiaGazette