BUTTERWORTH – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas 13,651 kilogram (kg) daging kambing sejuk beku bernilai RM365,917 dari Australia yang dibawa masuk ke negara ini di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini pada Ahad.
Pengarahnya Zarina Ramli berkata pemeriksaan yang dijalankan pihaknya pada 5.45 petang mendapati maklumat yang dikemukakan pada dokumen membawa kambing sejuk beku itu adalah tidak tepat dan mengelirukan serta tidak seperti yang dinyatakan pada syarat-syarat dalam permit import MAQIS.
“Semua daging kambing sejuk beku yang dirampas itu adalah jenis boneless mutton leg seberat 6,020kg, boneless mutton trunk (5,630kg) dan mutton tribe (2,001kg) kerana maklumat dinyatakan dalam permit import tidak tepat serta mengelirukan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya pihak MAQIS menjalankan siasatan kes itu mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 kerana memberikan maklumat palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan keluaran pertanian adalah menjadi suatu kesalahan.
“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
— BERNAMA