Home Nasional Juruterbang, kru kabin AirAsia X profesional, berani

Juruterbang, kru kabin AirAsia X profesional, berani

Liow Tiong Lai

KUALA LUMPUR – Juruterbang dan kru kabin AirAsia X D7237 dipuji kerana kemampuan mengendalikan keadaan kecemasan dengan profesionalisme dan penuh keberanian.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, juruterbang pesawat itu telah mengendalikan masalah dengan profesionalisme dan bertindak dengan pantas dan cekap untuk melindungi keselamatan para penumpang.

“Saya memuji kru kabin dan kakitangan di bahagian darat untuk komitmen mereka dalam mengendalikan dan memastikan keselamatan serta kesejahteraan penumpang,” katanya dalam satu kenyataan.

Tiong Lai berkata, beliau melihat kejadian yang menimpa pesawat itu dengan serius, telah mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam dan pihak berkuasa berkaitan menyiasat punca kejadian itu.

Keputusan perlu didedahkan selepas siasatan selesai dijalankan.

Pesawat yang dalam penerbangan ke Kuala Lumpur dari Perth terpaksa berpatah balik selepas mengalami masalah teknikal.

Menurut laporan, pesawat yang membawa 359 orang penumpang itu bergegar seperti “mesin basuh” selepas berlepas satu jam.

Beberapa media asing melaporkan penumpang terdengar letupan kecil di sayap kiri pesawat.

Pesawat itu mendarat dengan selamat pada jam 10 pagi Ahad dan semua penumpang selamat dipindahkan ke penerbangan sedia ada atau penerbangan pada jam 11.40 malam pada hari yang sama.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, AirAsia X berkata, ia sedang menjalankan siasatan terhadap punca insiden tersebut bersama pengeluar enjin Rolls-Royce. – MalaysiaGazette