KUALA LUMPUR – Tindakan juruterbang pesawat AirAsia X D7237 meminta semua penumpang berdoa ketika melalui saat cemas dalam penerbangan dari Perth ke Kuala Lumpur berjaya menenangkan mereka.
Tan Sri Tony Fernandes yang mempertahankan tindakan Kapten Ibrahim itu berkata: “Daripada video anda boleh lihat semua penumpang tenang dan banyak emel dan Whatsapp saya peroleh, pengumuman kapten menyebabkan semua orang tenang.
“Sangat bangga dengan semua kru saya yang diketuai oleh Kapten Ibrahim. Dan pegawai pertama Vincent serta pegawai penerbangan, Ruijaruuneglai yang telah melakukan tugas sebagai hero membawa semua penumpang balik dengan selamat,” katanya melalui posting di Facebook beliau.
Secara sinis, Fernandes berkata, jika kejadian seumpama itu berlaku dalam pesawat perkhidmatan penuh, juruterbang tersebut mungkin dianggap hero.
Tetapi apabila ia berlaku dalam penerbangan tambang murah, ‘pakar-pakar’ akan membuat tuduhan liar dan lupa tentang hero yang ada dalam kalangan kru AirAsia.
Tegas Fernandes, AirAsia bukan pengeluar engin pesawat dan semua syarikat penerbangan pernah mengalami masalah gangguan enjin.
Namun, jika masalah berlaku, ia memerlukan juruterbang yang memiliki kepimpinan terbaik untuk berhadapan dengan krisis, katanya, sambil mengucapkan terima kasih kepada rakyat Australia yang memuji AirAsia.
Masalah teknikal yang dialami oleh pesawat AirAsia X itu mendapat perhatian pengurusan tertinggi syarikat berkenaan berikutan kenyataan Ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim.
Zaid dalam akaun Twitternya berkata, beliau lebih suka juruterbang tidak memberitahunya ketika berada di ambang maut.
Beliau berkata: “Jika AirAsia berminat kepada doa, ambil imam dan paderi sebenar,”.
Dalam kejadian Ahad lalu, Airbus, A330 mengalami masalah teknikal selepas 90 minit berlepas dengan salah seorang penumpang menggambarkan pesawat itu bergegar seperti mesin basuh. – MalaysiaGazette