Home Nasional Sarjan wanita didakwa terima rasuah daripada suspek kes curi

Sarjan wanita didakwa terima rasuah daripada suspek kes curi

M. Kula Segaran Members of Parliament buying MPs MP support Perikatan Nasional PN MACC logo Datuk taxi company owner bribery UMNO legal advisor Paul Geoffrey Stadlen MACC 1MDB scandal Mohd Hafarizam Harun Malaysian Anti-Corruption Commission
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia serta agensi siasatan lain bagi menyiasat isu pendedahan Pandora Papers seperti yang telah dibangkitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen.- Gambar hiasan.

KOTA KINABALU – Seorang anggota polis wanita berpangkat Sarjan hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3,000 daripada seorang suspek kes mencuri, Februari lalu.

Tertuduh, Nora Alun, 42, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa bersetuju menerima wang tersebut daripada Mohd Saiful Jamil untuk tidak meneruskan siasatan terhadap lelaki itu yang sedang disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Restoran Taufik, Inanam, dekat sini, pada 13 Feb lalu dan pertuduhan kedua pula, melakukan kesalahan menerima wang RM3,000 yang dipersetujui itu daripada individu sama di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah, IPD Kota Kinabalu, pada 17 Feb lalu.

Kedua-dua tuduhan itu didakwa Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Clementine Severinus manakala tertuduh diwakili peguam Zahir Shah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta dua syarat tambahan iaitu melaporkan diri ke pejabat SPRM Kota Kinabalu sekali dalam tempoh dua bulan dan pasport antarabangsa diserahkan kepada pihak mahkamah.

Mahkamah menetapkan 19 Jan depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

— BERNAMA