KUALA LUMPUR – FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) dijangka mengakhiri tahun 2021 pada paras 1,770, didorong sebahagian besar oleh keyakinan terhadap pemulihan ekonomi global selepas dunia bangkit kembali daripada krisis COVID-19 serta tinjauan lebih baik ke atas pencapaian pendapatan, kata AmInvestment Bank.
Dalam nota penyelidikan hari ini, bank pelaburan itu berkata, pihaknya percaya dasar pelaburan yang memberi tumpuan kepada pemulihan bermula akhir 2020, akan terus berkembang sehingga memasuki 2021.
“Pelabur akan terus menyusun agenda pemulihan, iaitu secara asasnya terhadap nama-nama kukuh dalam sektor perbankan, tenaga, minyak dan gas, pengguna, amanah pelaburan hartanah (REIT) dan pengangkutan, selain mengurangkan pegangan mereka dalam sektor berkaitan (menangani) pandemik seperti pembuat sarung tangan dan saham terpilih teknologi berharga tinggi,” katanya.
Sementara itu, ia berkata, asas saham perbankan seharusnya meningkat sejajar dengan pemulihan ekonomi.
“Walaupun kejelasan masih kurang berhubung sejauh mana kerosakan ke atas perniagaan akibat pandemik tidak dapat dipulihkan, kami merasa lega bank telah mula membuat peruntukan awal dalam bentuk “management overlays”, selain peruntukan berdasarkan perubahan kepada faktor makroekonomi,” katanya.
AmInvestment Bank berkata sektor utama lain yang bersedia untuk mendapat manfaat daripada pemulihan itu adalah sektor tenaga di tengah-tengah peningkatan permintaan terhadap elektrik, terutamanya daripada segmen komersial dan perindustrian, pelabuhan berikutan peningkatan yang lebih tinggi dalam pemulihan perdagangan global, lapangan terbang setelah pembukaan semula sempadan dan sektor pengguna disebabkan oleh pemberian tunai dan pemulihan dalam pasaran kerja untuk mengekalkan penggunaan. – MalaysiaGazette