Home Pendapat Bentuk kerajaan atau tidak, PH perlu struktur semula hala tuju

Bentuk kerajaan atau tidak, PH perlu struktur semula hala tuju

Anwar Ibrahim

PADA 22 September yang lalu Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat satu pengumuman yang mengejutkan semua pihak. Beliau telah mengumumkan bahawa kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diberi nama kerajaan Perikatan Nasional telah pun tumbang apabila Anwar Ibrahim telah mendapat sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Dalam pengumuman tersebut, Anwar Ibrahim telah menyatakan dengan penuh keyakinan bahawa beliau telah mendapat majoriti yang bukan sedikit tetapi melebihi sepuluh kerusi. Apabila wartawan bertanya adakah majoriti beliau 2/3? Beliau menjawab hampir. Persoalan dalam pemain politik dan pemerhati ialah siapakah ahli parlimen yang telah membuat pusingan u-turn untuk menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Dari sumber-sumber yang meledak dalam media sosial, ahli parlimen UMNO telah terlibat sama dalam menobatkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Banyak faktor yang telah mendorong UMNO beralih arah kepada Anwar Ibrahim. Antaranya ialah tingkah laku BERSATU yang mengaut segala penguasaan yang ada dalam kerajaan. BERSATU terutamanya Azmin Ali selaku Menteri Paling Kanan dalam kerajaan PN, digambarkan telah menguasai segala Fi`ll hasil rampasan kuasa Februari lalu. Tindakan ini menyebabkan UMNO tidak senang hati dan menyebabkan mereka menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri

Persoalan seterusnya, adakah pimpinan parti komponen PH seperti Mohamad Sabu mewakili AMANAH dan Lim Guan Eng mewakili DAP mengetahui usaha yang telah dilakukan oleh Anwar Ibrahim ini? Setelah pengumuman dibuat oleh Anwar Ibrahim tanpa dihadiri oleh pimpinan PH yang lain, AMANAH dan DAP masing-masing telah mengeluarkan kenyataan menyokong Anwar Ibrahim membentuk kerajaan baru. Namun, tiada seorang pun pimpinan AMANAH,DAP mahupun KEADILAN memberikan perincian lanjut tentang  usaha ini. Adakah pimpinan PH yang lain tidak mengetahui hal ini ataupun mereka merahsiakan hal ini agar usaha ini tidak diketahui pihak lawan.

Jawapan dari persoalan ini boleh diukur dengan beberapa peristiwa selepas pengumuman dibuat. Antaranya ialah agenda mesyuarat Majlis Presiden PH yang diadakan beberapa lama selepas pengumuman dibuat. Hasil dari penjelasan oleh Khalid Samad, Pengarah Komunikasi AMANAH yang turut berada didalam mesyuarat tersebut bahawa mesyuarat yang diadakan itu khas untuk meminta penjelasan dari Anwar Ibrahim tentang usaha membentuk kerajaan baru. Jelaslah disini bahawa usaha yang dilakukan Anwar Ibrahim sangat sulit sehingga tidak diketahui oleh pimpinan lain.

Kesan dari pengumuman itu perlu dinyatakan disini. Ia telah melemahkan PN. Pengumuman itu telah menyebabkan hubungan BERSATU dan UMNO menjadi celaru. Melalui kenyataan Dato Seri Zahid Hamidi bahawa UMNO tidak mampu menghalang mana-mana ahli parlimennya menyokong Anwar Ibrahim merupakan tamparan hebat kepada kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin. Kenyataan itu seolah-olah benar seperti yang didakwa bahawa UMNO lah antara yang menyokong Anwar Ibrahim. Hubungan UMNO dan BERSATU tidak seyakin dahulu akibat pengumuman ini. Bagi kelompok yang mewakili parti-parti Sarawak iaitu Gabungan Parti Sarawak(GPS) juga terpaksa memikirkan semula kedudukan mereka dalam PN. Hal ini dapat dilihat bahawa usaha Anwar Ibrahim mampu menghancurkan kelangsungan GPS di Sarawak. Sebab lain adalah GPS yang menjadi sebahagian kerajaan PN tidak mampu memberi kelebihan buat mereka untuk menghadapi PRN Sarawak dalam masa terdekat.

Kesan yang lebih penting adalah pengukuhan PH. Sudah lah PH terus dilemahkan selepas kerajaannya tumbang, ditambah pula dengan pengumuman ini yang pastinya telah dijadikan modal utama pihak lawan untuk mempertikaikan kesatuan PH. Semua pimpinan parti komponen PH sama ada AMANAH mahupun DAP telah mengeluarkan komen yang agak selamat bagi meredakan persoalan ini.

Antaranya Anthony Loke selaku Setiausaha Organisasi DAP telah memberikan peluang kepada Anwar Ibrahim untuk membuktikan majoriti yang Anwar Ibrahim peroleh. Sebaliknya, Liew Chin Tong selaku Pengarah Strategik DAP dalam tulisannya menyatakan bahawa DAP tidak akan bersama UMNO (yang terlibat dengan kes di mahkamah) dalam membentuk kerajaan baru jika itu kaedahnya. AMANAH pula melalui beberapa tulisan Naib Presiden AMANAH iaitu Dr. Mujahid Yusof Rawa yakin bahawa Anwar Ibrahim akan membentuk kerajaan baru tanpa mengorbankan prinisip yang telah lama beliau pegang.

Situasi dari komen pimpinan parti dalam PH ini sukar dirungkai oleh semua pihak. Pastinya pendukung PH termasuk ahlinya kebingungan. Apa pun yang terjadi sama ada Anwar Ibrahim berjaya membentuk kerajaan baru atau tidak berjaya, semua ahli mengharapkan agar PH tidak berpecah sama sekali. Pengukuhan PH harus dipertahankan walaupun kita mempunyai gabungan baru dalam politik akan datang.

Begitu lama PH menjadi lemah kerana permainan kotor politikus dari Gombak dan Pagoh itu sehingga berjaya menumbangkan kerajaan PH. Kesan pengkhianatan ini membesarkan luka yang PH ada. Tetapi harapan semua ahli dan pendukung PH adalah PH harus memulihkan keadaan ini dan kembali berpadu dalam gelanggang politik. Benar semasa pandemik Covid-19 ini melanda, tidak wajar untuk kita berpolitik, tetapi usaha memulihkan kesatuan PH tidak boleh terhenti begitu saja. Rakyat harus didahulukan dengan apa cara sekalipun, namun penyatuan PH harus dipulih dan dipertahankan dari sekarang.

Kelompongan struktur kepimpinan PH akibat beberapa faktor antaranya ialah keluarnya BERSATU dari PH menyebabkan jawatan yang dipegang oleh Tun Mahathir, Muhyiddin Yassin, Syed Saddiq, Mukhriz Mahathir, Dr.Radzi Jidin, dan Rina Harun termasuk Marzuki Yahya terbatal dalam PH. Selain itu, Azmin Ali, Zuraidah Kamaruddin dan Saifudin Abdullah yang bertindak keluar KEADILAN telah menyebabkan jawatan-jawatan mereka kosong kecuali Ketua Setiausaha PH yang digantikan oleh Saifudin Nasution. Paling terkini apabila Dato Husam Musa selaku Bendahari PH juga meletakkan jawatan. Kelompongan ini menyebabkan PH gagal bergerak lancar ke bawah. Konvensyen PH tidak pernah diadakan sejak menang PRU Ke-14. Jentera pilihan raya peringkat PH juga gagal mencapai penyelarasan akibat kelompongan ini. Sedangkan kita sebagai satu gabungan rasmi yang diiktiraf ROS harus memasuki pilihan raya dengan gaya yang ampuh dan padu.

Akar umbi PH juga berterabur dan belum disusun untuk menghadapi pilihan raya. Siapa pengerusi PH kawasan? Siapa jawatankuasanya? Bagaimana penyelarasan jentera pilihan raya akan bergerak? Semua ini belum diputuskan sama sekali di tempat-tempat tertentu. Perkara ini sangat penting terutamanya di kawasan yang telah dikhianati dan kawasan yang ditinggalkan oleh BERSATU ataupun PEJUANG. Rakyat akan mula mempercayai PH apabila kita bersatu dengan agenda yang satu. Jika dibandingkan dengan PN yang bergabung semata-mata kerana keuntungan masing-masing sahaja, rakyat tidak yakin menyebelahi mereka, dengan syarat PH bersatu.

Terkait dengan kedudukan PEJUANG,WARISAN dan MUDA, mereka harus kembali menyokong PH dan menyatakan sokongan kepada kepimpinan Anwar Ibrahim selaku pengerusi PH. Hal ini kerana PH merupakan gabungan yang dipilih oleh rakyat menjadi kerajaan dalam PRU yang lalu. Jika PEJUANG, WARISAN dan MUDA tidak bersama PH sama ada sebagai blok ketiga mahupun bersama PN, seolah-olah mereka tidak bersama mandat rakyat. Pastinya dengan menyokong dan bersama PH, PH akan cuba membina sebuah gabungan yang seimbang dan tidak melukakan mana-mana pihak seperti mana Pakatan Rakyat dahulu. Dengan harapan komponen yang menyokong ini harus mengikuti ‘rule of law’ di dalam PH dan tidak memungkiri janji. Kesepakatan boleh dicapai bersama namun pimpinan PH harus memimpin bukan dipimpin.

Semasa tulisan ini ditulis Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa Duli Yang Maha Mulia SPB Yang Dipertuan Agong berkenan menerima mengadap Anwar Ibrahim untuk mempersembahkan majoriti yang telah diumumkan. Berjaya atau tidak (dengan harapan setinggi gunung berjaya) PH perlu kekal utuh, PH perlu kekal bersama dan masuk ke gelanggang PRU Ke-15 bersama!!!

Syazmir Hariz Noorazalan
Penulis Politik – Tinta Siyasah

1 Komen

  1. Well, good luck. Kami rakyat bukan semua nak kan PH pun tp tak suka Najib jd PM ja. Bila Najib dah jatuh, PH pulak ngan atuk tadbir mcm hampas. Seb baik Muhyiddin jd bidan terjun. Lega rasa wlpun tgh2 covid 19. PRU 15 sori la. Xnak kasi PH dah.. serik

Comments are closed.