Home Ekonomi 99.3% peruntukan Belanjawan 2020 sudah disalurkan – MEDAC

99.3% peruntukan Belanjawan 2020 sudah disalurkan – MEDAC

Wan Junaidi Tuanku Jaafar

 

KUALA LUMPUR – Sehingga 7 Disember 2020, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyalurkan peruntukan sebanyak RM317.62 juta atau 99.3% daripada jumlah keseluruhan sebanyak RM319.76 juta yang telah diperuntukkan di bawah Belanjawan 2020.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pencapaian ini adalah amat membanggakan kerana ia mencerminkan komitment MEDAC serta agensinya dalam membantu kumpulan usahawan dinegara ini.

Dalam usaha mempertingkatkan lagi prestasi, pihak pengurusan MEDAC akan terus mengambil tindakan- tindakan sewajarnya dalam mengenal pasti beberapa halangan dan penambahbaikan dalam usaha mempertingkatkan perkhidmatan penyampaian
agensi di bawah MEDAC dalam usaha membantu rakyat.

”Walaupun saya amat berpuas hati dengan pencapaian tahun ini, saya ingin menyeru agar MEDAC serta agensi supaya jangan terlalu selesa dengan pencapaian ini dan perlu sentiasa membuat penambahbaikan terhadap proses permohonan supaya
para usahawan lebih mudah untuk mendapatkan sebarang bentuk dana atau pembiayaan yang ditawarkan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Kementerian (MTPK).

MTPK merupakan satu platform untuk memantau dan memastikan pelaksanaan program-program pembangunan kementerian yang dibiayai di bawah Peruntukan Pembangunan Kerajaan Persekutuan berjalan lancar dan efisien.

Langkah ini juga adalah bagi memastikan agenda pembangunan negara terutamanya yang terkandung
dalam Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Fokus pemulihan ini juga akan diteruskan dalam Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Kedua belas (RMKe-12) pada tahun 2021.

Menerusi Belanjawan 2021, MEDAC telah menerima peruntukan sebanyak RM548.7 juta iaitu RM192.4 juta bagi peruntukan mengurus dan RM356.3 juta bagi program pembangunan.

Peruntukan bagi pembangunan usahawan dalam belanjawan 2021 adalah merentasi kementerian dan agensi di Malaysia. Oleh itu, peruntukkan yang diumumkan kepada MEDAC dalam belanjawan 2021 adalah hanya sebahagian kecil daripada keseluruhan peruntukan untuk usahawan dan koperasi di Malaysia.

Bagi merealisasikan agenda keusahawanan dan koperasi negara tercapai sepenuhnya, MEDAC akan meningkatkan perkongsian strategik dengan Kementerian lain seperti yang digariskan dalam Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) dan Wawasan
Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030). – MalaysiaGazette