Home Politik i-Sinar: UMNO beri sedikit masa lagi kepada kerajaan tunaikan janji

i-Sinar: UMNO beri sedikit masa lagi kepada kerajaan tunaikan janji

Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO tidak sesekali akan berhenti bersuara berhubung isu pengeluaran i-Sinar dan lanjutan moratorium selagi apa yang dituntut rakyat tidak ditunai oleh kerajaan.

Ini terutamanya membabitkan pemansuhan Kategori 2 penerima i-Sinar bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pencarum yang susah ketika ini.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, pihaknya memberi ruang sedikit masa kepada kerajaan untuk mengotakan janji-janjinya.

”Sebagaimana yang dijanjikan YB Menteri Kewangan bahawa isu KWSP dan moratorium masih boleh ditambah-baik biarpun bajet sudah diluluskan, kami Pemuda akan beri ruang sedikit masa untuk pihak kerajaan kotakan janji,” tegas beliau.

Namun, jika masih tiada apa-apa, Pemuda UMNO masih mempunyai kuasa politik untuk digunakan bagi pihak rakyat.

”InsyaAllah tunggu dan lihat!,” ujarnya yang menolak apa juga tanggapan, andaian dan tuduhan yang dilemparkan kepada UMNO.

Menurutnya, Pemuda akan terus memperjuangkan isu kelangsungan hidup dan kepayahan rakyat ketika ini kerana ia sejajar dengan prinsip UMNO.

Asyraf berkata, biarpun tiada mempunyai kuasa untuk membuat sebarang keputusan, Pemuda terus berusaha menjadi jurubicara rakyat dengan menyampaikan memorandum suara rakyat dalam isu KWSP dan moratorium.

Ini termasuk melakukan perjumpaan secara bersemuka dengan Menteri Kewangan, berhubung terus dengan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, mendesak melalui pelbagai saluran media termasuk melalui Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional di Dewan Rakyat.

”Alhamdulillah, berkat desakan bersepadu semua termasuk Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi BN, kerajaan telah menambah baik dari semasa ke semasa (daripada peringkat awal menolak terus idea pengeluaran Akaun 1 KWSP, kepada 600,000 pencarum dibenarkan keluar, kemudian ditambah baik lagi kepada 2 juta sehinggalah diperluaskan lagi kepada 8 juta pencarum),” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Tolonglah pikir something yg lebih impactful KEPADA PENCARUM….. Pikirlah camne pemuda umno dapat memaksimakan/beranakkan duit pengeluaran pencarum melalui pelaburan atau peluang perniagaan mudah yg difalitasikan pemuda umno… ADA BERANI!!!!!!!!

  2. Apa lagi.. Buatlah usul undi x percaya kt piem.. Settle.. Bnda kwcik tu pon nk kena ajar.. Biar yiddin pulk tercidukkk dikhianati

Comments are closed.