BANGKOK – Polis Thailand menyerbu sebuah gudang dan merampas lebih dari 300 kilogram dadah jenis ketamin di wilayah Nonthaburi.
Seorang wanita yang berada di dalam premis itu turut ditahan untuk siasatan lanjut.
Dalam siasatan awal, polis berkata, wanita itu memaklumkan tugasnya hanyalah membungkus dadah untuk dihantar ke pelabuhan untuk penghantaran ke Taiwan.
Menurut wanita itu, dadah berkenaan dibawa ke gudang tersebut oleh seorang lelaki, yang hanya dikenal sebagai “Top”.
Serbuan itu dijalankan bersama polis anti-narkotik Thailand dan Taiwan.
Stesen televisyen menyiarkan polis menebuk lubang bungkusan tepung ubi kayu untuk mencari ketamin yang disembunyi dalam bungkusan kecil di dalam tepung tersebut.
Dadah yang disita akan dihantar untuk ujian makmal untuk mengesahkan ia adalah ketamin.
Ini bagi mengelakkan kesilapan berulang seperti operasi yang dilakukan di gudang di wilayah timur Chachoengsao bulan lalu, yang mana rampasan 12 tan yang dipercayai ketamin, kemudian disahkan sebagai kalsium karbonat dan trisodium fosfat – bahan kimia yang digunakan sebagai bahan tambahan makanan dan pembersih.
Sususlan serbuan itu, polis menggeledah sebuah rumah di Soi Ratchadaniwet, daerah Huey Khwang, dan menemui sejumlah ketamin lagi. – MalaysiaGazette