GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengesyorkan agar mengenal pasti masalah dan isu yang dihadapi perkhidmatan feri sedia ada terlebih dahulu sebelum membeli dan menggantikannya dengan katamaran.
Dalam kenyataan hari ini, Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, sepatutnya diwujudkan inkuiri awam untuk mengetahui mengapa feri sedia ada gagal, untuk memastikan katamaran tidak mengalami nasib yang sama.
“Jelas sekali feri yang ada sekarang tidak diuruskan dengan baik dan kurang penyelenggaraan, yang jika sebaliknya, boleh menjadikan perkhidmatan feri berdaya maju dari segi kewangan.
Mohideen mencadangkan agar papan tanda yang menunjukkan masa menunggu dipaparkan agar memudahkan penunggang motosikal dan pejalan kaki membuat keputusan perjalanan alternatif.
“Dengan perkhidmatan yang cekap, lebih ramai orang akan didorong menggunakan perkhidmatan feri, yang jika sebaliknya, akan terus melihat penurunan jumlah penumpang,” kata Mohideen.
Semalam, Pengerusi SPPP, Datuk Tan Teik Cheng mengumumkan perkhidmatan feri Pulau Pinang sedia ada yang mengangkut penumpang dan kenderaan antara bahagian pulau dan tanah besar akan dihentikan bermula 1 Januari depan dan digantikan dengan dua bot laju yang membawa penumpang, basikal dan motosikal sahaja.
Beliau berkata, pelaksanaan itu akan dilakukan oleh Penang Port Sdn Bhd (PPSB) kerana syarikat tersebut akan mengambil alih perkhidmatan feri Pulau Pinang yang telah beroperasi selama 126 tahun.
PPSB juga akan menjalankan penambahbaikan secara interim bermula 1 Jan tahun depan hingga 30 Jun 2022 dan sepanjang tempoh tersebut dua bot penumpang laju yang mampu membawa 200 penumpang dengan kepantasan perjalanan antara 10 hingga 15 minit serta kekerapan 40 kali sehari, ditawarkan.
Tan juga berkata, sepanjang tempoh itu, kedua-dua terminal di Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) di George Town dan Pangkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth dekat sini akan diubah suai dan dinaik taraf dengan terminal di PRTU dipindahkan sementara ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT).
Katanya, selepas tempoh interim iaitu bermula 1 Julai 2022 atau mungkin lebih awal, perkhidmatan bot laju itu akan digantikan dengan katamaran atau teksi air dan pengangkut kenderaan iaitu sebanyak tiga katamaran akan disediakan dengan kemampuan membawa sehingga 200 penumpang dengan kepantasan antara 10 hingga 15 minit dengan kekerapan 40 kali sehari. – MAlaysiaGazette