KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen akan memanggil bekas menteri pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi awal bulan depan, bagi melengkapkan prosiding berhubung kegagalan pembekalan enam kapal peronda generasi kedua Littoral Combatant Ship (LCS).
Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata, turut akan dipanggil pada prosiding jawatankuasa itu adalah bekas panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan kontraktor utama projek kapal LCS Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd.
“Pelantikan BNS Sdn Bhd dilakukan secara rundingan terus dan sehingga Oktober lalu, sejumlah RM6.083 bilion telah dibayar, dan tidak ada sebuah kapal LCS siap dibina walaupun mengikut jadual sepatutnya dua kapal LCS siap dibina setakat ini,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.
Jelasnya PAC Parlimen juga akan mengadakan lawatan tapak pembinaan kapal LCS di Lumut, Perak bulan depan.
“PAC Parlimen memandang serius isu kegagalan pembekalan enam kapal peronda LCS oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF), membabitkan nilai perolehan sebanyak RM9 bilion.
“Kegagalan penyiapan kapal LCS amat serius, kerana ia membabitkan kelemahan dari segi tadbir urus, perolehan serta kewangan, tetapi memberi impak terhadap keselamatan dan pertahanan negara,” katanya.
Wong berkata PAC Parlimen berpendapat bahawa suatu penyelesaian hendaklah diputuskan oleh kerajaan secepat mungkin, dan berikutan itu, adalah penting bagi PAC Parlimen untuk menyegerakan prosiding isu itu dan membentangkan laporannya ke Dewan Rakyat.
Beliau berkata setakat ini empat mesyuarat dan prosiding dengan beberapa saksi telah dipanggil, antaranya Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abdul Aziz dan Pengerusi JKSTUPKK Tan Sri Ambrin Buang.
“PAC Parlimen berhasrat untuk melengkapkan dan membentangkan Laporan PAC berhubung isu pembekalan enam kapal generasi kedua LCS ini ke Dewan Rakyat, dalam sidang Parlimen pada Mac 2021,” katanya.
— BERNAMA
Ini saya kenal org ni. Calon PM dari UMNO ni.. PRU15 nanti ni la dia calon PM malaysia yg baharu ni..
Dalam urus-niaga, jangan bayar dulu tetapi bayar apabila barangan dah siap atau bisa nampak mata kepala maka barulah beli dong.