Home Sukan Qatar dipilih tuan rumah Sukan Asia 2030

Qatar dipilih tuan rumah Sukan Asia 2030

Presiden OCA, Sheikh Ahmad Al-Fahad Al-Sabah.

MUSCAT – Qatar pada Rabu dipilih tuan rumah Sukan Asia 2030 pada Perhimpunan Agung ke-39 Majlis Olimpik Asia (OCA) yang berlangsung di ibu kota Oman, Muscat lapor Agensi Berita Qatar.

Presiden OCA Sheikh Ahmad Al-Fahad Al-Sabah mengumumkan Qatar memenangi bidaan menjadi tuan rumah sukan itu selepas mendapat 27 undi berbanding Riyadh yang memperoleh 10 undi.

Sementara lapan lagi negara tidak mengambil bahagian dalam pengundian itu, menurut OCA.

Doha pernah menjadi tuan rumah Sukan Asia pada 2006. Qatar akan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022 buat julung kalinya di Timur Tengah.

Presiden Jawatankuasa Olimpik Qatar (QOC) dan Pengerusi Doha 2030 Sheikh Joaan bin Hamad Al-Thani dalam ucapannya semasa bidaan, menegaskan kesediaan Qatar untuk menjadi tuan rumah Sukan Asia 2030 dan telah berusaha selama 20 tahun untuk membangunkan kemudahan sukan bertaraf dunia.

Menurutnya, Qatar telah membina lebih 200 kemudahan sukan dan pernah menjadi tuan rumah kepada lebih 50 kejohanan serantau dan antarabangsa.

Katanya, kemudahan itu juga menerima pengiktirafan pelbagai persekutuan dan jawatankuasa Olimpik, yang mengesahkan atlet Asia mampu bersaing di peringkat tertinggi.

Sukan Asia adalah kejohanan terbesar yang diselia Majlis Olimpik Asia, dan kedua terbesar di dunia selepas Sukan Olimpik Musim Panas, dengan penyertaan lebih 10,000 atlet dari 45 negara Asia.

Selain Sukan Asia ke-15, Qatar mempunyai rekod baik dalam mengatur kejuaraan dunia, termasuk Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Dunia 2010, Kejohanan Olahraga Dunia IAAF 2014, Kejohanan Bola Baling Dunia 2015, Kejohanan Lumba Basikal Lebuhraya Dunia UCI 2016, Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia 2018, Kejohanan Olahraga Dunia 2019, dan Kejohanan Sukan Pantai Dunia Qatar 2019 kali pertama.

Qatar akan mengatur beberapa lagi kejohanan besar, antaranya Piala Dunia FIFA 2022, Kejohanan Akuatik Dunia 2023, dan Kejohanan Judo Dunia 2023.- BERNAMA