ABUJA – Ratusan pelajar sekolah yang diculik minggu lalu dari sebuah sekolah asrama di barat laut Nigeria telah dibebaskan, kata pihak berkuasa tempatan.
Jurucakap Gabenor Negeri Katsina memberitahu, seramai 344 pelajar telah dibebaskan dan semuanya dalam keadaan baik.
Bagaimanapun, terdapat laporan lain yang mendakwa beberapa pelajar masih berada di tangan penculik.
Serangan itu dilakukan oleh kumpulan militan Boko Haram, yang menunjukkan video yang menunjukkan beberapa pelajar lelaki yang menjadi tebusan mereka.
Dalam kenyataannya, jurucakap, Abdul Labaran berkata, semua pelajar yang diselamatkan telah dibawa ke Katsina City dan akan segera bertemu dengan keluarga mereka.
Beliau mendakwa rakaman video yang dikeluarkan oleh Boko Haram itu asli, sebaliknya mesej daripada pemimpin kumpulan itu Abubakar Shekau, dilakukan oleh penyamar.
Sebelum ini pihak berkuasa memberikan angka yang lebih rendah daripada penduduk tempatan untuk jumlah mangsa yang diculik dan tidak jelas adakah semuanya selamat.
Gabenor negeri, Aminu Bello Masari dipetik oleh agensi berita Reuters sebagai berkata, “Kami telah mendapatkan sebahagian besar pelajar-pelajar itu. Bukan semuanya,” sementara sumber keselamatan memberitahu masih ada pelajar yang bersama penculik mereka.
Labaran berkata, tidak ada pelajar lelaki yang diculik terbunuh, bertentangan dengan budak lelaki yang ditunjukkan dalam video yang mendakwa beberapa orang telah terbunuh oleh jet pejuang Nigeria.
Tidak jelas bagaimana pembebasan kanak-kanak itu berlaku tetapi berita itu disahkan kepada BBC Hausa oleh pegawai kerajaan negeri yang lain.
Sekumpulan lelaki yang bersenjata telah menyerang sekolah di bandar Kankara pada Jumaat lalu.
Semasa kejadian itu, para pelajar bertindak memanjat pagar sekolah dan bertempiaran lari apabila terdengar bunyi tembakan.
Bagaimanapun, kumpulan bersenjata berjaya menjejaki para pelajar berkenaan dan mendakwa mereka adalah pasukan keselamatan, menurut pelajar yang berjaya melarikan diri.
Para pelajar berkenaan kemudian diminta berbaris dan dibawa masuk ke dalam hutan.
Khamis lalu, Bako Haram menunjukkan video berpuluh-puluh pelajar bersama mereka. – MalaysiaGazette