Home Nasional Cuaca panas, keselamatan menanti pekerja MMMSL – Prasarana

Cuaca panas, keselamatan menanti pekerja MMMSL – Prasarana

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz memberikan reaksi bersemangat bersama Kapten Nor Hisham Mohd (dua kiri), Kapten Mohamad Fahmy Hashim (dua kanan) dan Kapten Harnizam Johar (kanan) pada Majlis Penghantaran Kapten Tren Haji Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) ke Mekah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Selangor. foto IQBAL BASRI, 28 JUN 2017.

SEPANG – Pasukan pengendali tren haji, Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) bakal menghadapi aspek keselamatan yang lebih mencabar pada musim haji kali ini berikutan percubaan serangan bom berhampiran Masjidilharam pada Jumaat lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata, lebih 1,000 televisyen litar tertutur (CCTV) pada tren MMMSL untuk memastikan operasinya lebih berkesan.

“Selain keselamatan, satu lagi cabaran yang dijangkakan ialah musim haji bertambah panas tahun ini berbanding tahun lalu.

“Jadi cabaran untuk bertugas pada cuaca dan suhu panas memang menanti pasukan kita di sana, tetapi kita sentiasa menenangkan diri dalam segala keadaan yang mana ada yang perlu kerja syif pagi dan di tengah panas terik membawa tren yang mana perlu mengelak dehidrasi,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada 49 kapten tren MMMSL di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pada serangan bom Jumaat lalu, seramai 11 orang cedera, termasuk lima pegawai polis Arab Saudi apabila suspek yang merupakan anggota pengganas meletupkan diri selepas dikesan dan dikepong polis.

Azmi berkata, pasukan pertama yang terdiri daripada 66 orang sudah berada di Arab Saudi sebagai persiapan mengendalikan tren yang mula beroperasi selama tujuh hari, bermula pada hari wukuf.

Menurut beliau, kapten tren terbabit akan bertugas sehingga sebulan selepas Hari Raya Aidiladha.

“Tugas mereka selesai musim haji nanti mengemaskini segala kelengkapan yang ada supaya ia berada dalam keadaan baik.

“Sebelum ini kita ada hantar kumpulan kecil di sana sejak April lepas, merupakan pasukan pengambilan staf tempatan Arab Saudi yang dipertanggungjawabkan seramai 21 orang yang diberi tugas melatih 6,600 pekerja tempatan untuk kerja mengawal penumpang MMMSL musim ini.

“Saya pun melawat mereka kira-kira dua minggu lalu semasa Ramadan untuk memantau keadaan di sana dan meraikan kakitangan yang beraya di Arab Saudi,” katanya.

Azmi berkata, kapten tren dari Malaysia itu akan bekerja bersama-sama 24 kapten tren Arab Saudi yang dilatih di Akademi Rapid Rail di Kuala Lumpur tahun lalu.

Selain itu ujarnya, selain daripada kapten tren delegasi yang berlepas hari ini antaranya adalah dua jurulatih kapten tren, lapan staf operasi stesen bas dan seorang pelukis kejuruteraan serta seorang pengurus kawalan penumpang di tanah suci.

“Mereka ini bertanggungjawab akan membawa lebih 350,000 haji pada satu masa secara serentak dan berkumpulan pada waktu wukuf dari Arafah ke Muzalifah dan ke Madinah sebelum berpatah balik dan beroperasi seperti biasa. Ia berbeza dengan cara operasi tren di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette