KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan memberi kerjasama dan membantu Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) melengkapkan siasatan mengenai kegagalan pembekalan enam kapal peronda generasi kedua Littoral Combatant Ship (LCS).
Menurut Presiden UMNO itu, kegagalan pembekalan oleh LCS Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd. timbul hanya pada 2019 yang mana pada ketika itu beliau tidak lagi memegang jawatan Menteri Pertahanan.
“Dengan itu, ingin ditegaskan bahawa saya telah berhenti sebagai Menteri Pertahanan pada tahun 2013 dan tidak pula menjawatnya pada 2019. Pastinya isu ini berada di luar pengetahuan saya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Ahmad Zahid memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan mulai April 2009 sehingga Mei 2013.
Semalam, PAC menyatakan ia akan memanggil Ahmad Zahid pada awal bulan depan bagi melengkapkan prosiding berhubung kegagalan pembekalan enam kapal peronda generasi kedua LCS.
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, pihaknya memandang serius isu kegagalan pembekalan enam kapal peronda yang membabitkan nilai perolehan sebanyak RM9 bilion.
“Kegagalan penyiapan kapal LCS amat serius, kerana ia membabitkan kelemahan dari segi tadbir urus, perolehan serta kewangan, tetapi memberi impak terhadap keselamatan dan pertahanan negara,” katanya.
PAC juga akan memanggil bekas panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan kontraktor utama projek kapal, BNS pada prosiding itu.
Ahmad Zahid menjelaskan, LCS itu dibina oleh BNS yang dimiliki oleh Boustead Holdings Berhad (Boestead Holdings)yang mana pemegang saham terbesarnya adalah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) manakala pemegang saham kedua terbesarnya adalah (Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan) KWAP yang juga milik kerajaan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memberitahu, penganugerahan kontrak kepada Boustead adalah mengikut Garis Panduan Permohonan Perolehan Secara Rundingan Terus bertarikh 17 April 2002 yang mana ia secara jelas menyebut rundingan terus hanya boleh dibuat setelah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan dan bukannya Menteri Pertahanan.
“Mengenai isu denda lewat kepada syarikat Boustead, saya percaya Kementerian Pertahanan telah memberikan penerangan lanjut berkaitan status isu itu. Kementerian juga telah menyatakan bahawa satu Surat Tuntutan telah disediakan dan diserahkan kepada “Pegawai Pengawal” untuk kelulusan.
“Akhir sekali, berkenaan isu pembayaran berkala kepada Boustead, saya juga menegaskan bahawa pembayaran ini telah dibuat pada 2019 di mana saya tidak lagi memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan.
“Oleh itu, saya tiada pengetahuan dan kawalan ke atas sebarang keputusan yang dibuat oleh Kementerian mengenai isu pembayaran berkala tersebut,” ujarnya.
Menurutnya Ahmad Zahid, beliau menghormati peranan dan bidang kuasa PAC dalam memastikan kelangsungan struktur kerajaan dan pengurusannya namun percaya jawatankuasa tersebut seharusnya lebih sensitif dalam mengendalikan keseluruhan proses siasatan, khususnya isu keselamatan negara kerana ia masih di peringkat siasatan. – MalaysiaGazette