KUALA LUMPUR – Bekas vokalis Kristal, Lan Solo berdepan dugaan apabila kedai barangan runcit Solo Borneo Mart yang diusahakan telah dirompak.
Menerusi perkongsiannya di Instagram, Lan berkata perompak berkenaan dipercayai seorang lelaki India dan kejadian berkenaan berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di kedainya.
“Minta bantuan kepada semua warga Puchong. Kedai saya telah dirompak
“Kalau ada maklumat berkenaan perompak ini boleh kongsi maklumat berkaitan seperti maklumat diri dan kenderaan yang digunakan,” tulisnya.
Menurut Lan atau nama sebenarnya, Mohd Razlan Mohamed Yusof berkata, dia akan membuat laporan polis berkenaan apa yang terjadi.
Kejadian tersebut turut dikongsikan isteri Lan, Sheila menerusi instagram story dan berharap orang ramai berhati-hati terutamanya penduduk Puchong.
“Allahuakbar. Kedai kami di Puchong yelah dirompak. Habis semua duit sales hari ini.
“Seorang lelaki India telah menggunakan kekerasan kepada staf supaya menyerahkan duit kepadanya. Warga Puchong dan sekitarnya, sila berhati-hati ya,” katanya.
Lan Solo sebelum ini membuka kedai yang menjual produk makanan dari Sabah dan Sarawak yang terletak di Puchong, Selangor.
Kedai tersebut baru dibuka tahun ini selepas perniagaan secara atas taliannya mendapat respon yang positif. – MalaysiaGazette