![](https://staging.malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2020/12/Vaksin-INdian-640x426.jpg)
NEW DELHI – India yang mencatatkan hampir 10 juta kes Covid-19 dan lebih daripada 144,000 kematian akibat penularan virus itu menyasarkan 300 juta penduduknya menyertai program vaksin pada awal bulan Ogos.
Menurut satu kenyataan, kerajaan sedang berhubung dengan pembuat vaksin dalam dan luar negara bagi mengetahui kemampuan pengeluaran vaksin.
Katanya, dua pembuat vaksin India, Serum Institute of India dan Bharat Biotech, berkeupayaan menghasilkan 65 juta dos vaksin Covid-19 setiap bulan.
Kira-kira 30 juta rakyat India akan diberi vaksin pada peringkat awal program itu.
Sebagai permulaan, kira-kira 10 juta pekerja kesihatan, polis, tentera, pekerja perbandaran dan pekerja barisan hadapan lain akan menerima vaksin pada peringkat pertama.
Kumpulan yang layak mendapat vaksin seterusnya ialah orang yang berusia dalam lingkungan 50 tahun, kata seorang pengawai.
Menurut pegawai itu, seramai 154,000 daripada 223,000 jururawat dan bidan serta pelajar kejururawatan tahun akhir akan terlibat dalam program itu bagi memberikan vaksin Covid-19 kepada rakyat India.
“Kita harus telus dan menangani kejadian buruk ini sehabis baik, prosedur operasi juga telah dibuat untuk program ini demi semua kesejahteraan rakyat India,” katanya. – MalaysiaGazette