Home Ekonomi Statistik perdagangan mengikut negeri jadi indikator baharu

Statistik perdagangan mengikut negeri jadi indikator baharu

KUALA LUMPUR – Jabatan Perangkaan Malaysia melancarkan penerbitan pertama Statistik Perdagangan Malaysia Mengikut Negeri 2020 yang merupakan indikator ekonomi baru negeri-negeri di Malaysia.

Penerbitan baru ini mengandungi statistik tahunan Perdagangan Antarabangsa berkaitan
import dan eksport di peringkat negeri mengikut barangan utama dan terpilih bagi tahun
2014 hingga 2019, negara asal dan negara destinasi bagi tahun 2017 hingga 2019.

Ini merupakan inisiatif dalam mengintegrasikan dua domain statistik berbeza iaitu pangkalan data perdagangan barangan antarabangsa dan Malaysia Statistical Business Register (MSBR).

Statistik ini membekalkan maklumat penting kepada penggubal dasar untuk merangka
perancangan strategik bagi negeri yang terlibat dalam perdagangan antarabangsa dan
mendominasi eksport Malaysia.

Eksport Malaysia pada 2019 bernilai RM995.1 bilion, menyusut 0.8 peratus berbanding
2018. Import juga menurun sebanyak 3.5 peratus kepada RM849.4 bilion.

Penurunan eksport didorong oleh eksport yang lebih rendah terutamanya oleh Sabah
(-RM7.2 bilion), Terengganu (-RM4.7 bilion), Johor (-RM3.3 bilion), Sarawak (-RM2.5 bilion), Melaka (-RM1.8 bilion), W.P. Kuala Lumpur (-RM1.0 bilion), Kelantan (-RM1.0 bilion), Pulau Pinang (-RM0.8 bilion), Perak (-RM0.4 bilion) dan Perlis (-RM0.2 bilion).

Walau bagaimanapun, eksport meningkat di Pahang sebanyak RM12.2 bilion, Kedah
(+RM3.0 bilion), Selangor (+RM1.0 bilion), Negeri Sembilan (+RM1.0 bilion) dan W.P.
Labuan (+RM0.4 bilion).

Pada masa yang sama, penyusutan import disebabkan oleh import yang lebih rendah dari
Selangor (-RM9.6 bilion), Pulau Pinang (-RM7.9 bilion), Kedah (-RM2.8 bilion),
Perak (-RM2.1 bilion), W.P. Kuala Lumpur (-RM1.8 bilion), Melaka (-RM1.6 bilion),
Negeri Sembilan (-RM1.1 bilion), Sarawak (-RM1.0 bilion), Johor (-RM0.4 bilion),
Perlis (-RM0.4 bilion), Sabah (-RM0.3 bilion), Pahang (-RM0.2 bilion) dan Kelantan
(-RM0.2 bilion). Terengganu dan W.P. Labuan masing-masing merekodkan peningkatan
import iaitu sebanyak RM1.7 billion dan RM0.6 billion.

Lima negeri mendominasi eksport Malaysia adalah Pulau Pinang, Johor, Selangor, Sarawak
dan W.P. Kuala Lumpur. Eksport bagi lima negeri ini menyumbang sebanyak 80.2 peratus
daripada jumlah eksport Malaysia.

Pada 2019, secara keseluruhan perdagangan Malaysia mencatatkan eksport bersih
sebanyak RM145.7 bilion. Ini disumbangkan oleh eksport bersih yang tinggi terutamanya di Pulau Pinang (+RM106.2 bilion), Sarawak (+RM61.4 bilion), Johor (+RM25.2 bilion) dan Pahang (+RM11.8 bilion).

Produk utama eksport bagi Malaysia pada tahun 2019 adalah litar elektronik bersepadu
dengan nilai RM171.6 billion atau 17.2 peratus daripada eksport keseluruhan Malaysia. Litar eletronik bersepadu merupakan produk eksport utama bagi Pulau Pinang (RM113.0 billion – 65.9%), Selangor (RM25.1 billion – 14.6%) dan Melaka (RM7.2 billion – 4.2%). Rujuk Paparan 1.

Barangan elektrik dan elektronik yang lain (mesin pencetak, faksimili, fotostat, pemacu
cakera keras, mesin pengiraan/ perakaunan/ merekod data dan pengeluaran tiket)
merupakan produk eksport kedua tertinggi iaitu RM94.5 billion (9.5%). Barangan elektrik dan elektronik yang lain adalah produk eksport utama bagi Negeri Sembilan iaitu RM3.4 billion atau 3.6%.

Produk eksport ketiga tertinggi adalah keluaran petroleum bertapis iaitu RM61.8 billion
(6.2%). Keluaran petroleum bertapis merupakan eksport utama di Johor (RM40.7 billion –
65.8%), W.P. Kuala Lumpur (RM6.9 billion – 11.2%) dan Terengganu (RM4.4 billion –
7.1%).

Negara destinasi eksport utama Malaysia pada tahun 2019 adalah China dengan nilai
eksport sebanyak RM140.9 billion atau 14.2 peratus daripada keseluruhan eksport
Malaysia. China merupakan destinasi eksport utama bagi Pulau Pinang (RM50.9 bilion
– 36.1%), Selangor (RM20.9 bilion – 14.8%), Pahang (RM5.7 bilion – 4.0%) dan W.P. Kuala Lumpur (RM4.9 bilion – 3.5%).

Singapura merupakan negara destinasi eksport utama kedua Malaysia adalah dengan nilai
RM137.1 billion (13.8%). Singapura merupakan destinasi eksport utama bagi
Johor (RM51.8 bilion – 37.8%), Melaka (RM9.6 bilion – 7.0%) dan Terengganu (RM4.6 bilion – 3.4%). – MalaysiaGazette