PUTRAJAYA – Shell Malaysia melancarkan dua inisiatif, Community Food Box dan Sudut Barangan Komuniti, di 48 buah stesen minyaknya dalam usaha mengurangkan bebanan hidup penduduk negara ini.
Community Food Box ialah ruang yang disediakan untuk meletakkan barangan kering seperti telur, tepung, sardin, bihun, mi segera untuk didermakan kepada pelanggan Shell.
Mereka yang memerlukan barangan tersebut boleh mendapatkannya secara percuma di stesen Shell yang menyediakan perkhidmatan itu.
Manakala Sudut Barangan Komuniti pula menjual barangan keperluan asas seperti tepung, gula, makanan dalam tin pada harga yang berpatutan.
Inisiatif ini mendapatkan pujian serta sokongan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Edward Pengguna (KPDNHEP) yang melihatnya sebagai satu usaha murni ketika negara dan rakyat berada dalam keadaan saling memerlukan.
Menurut Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam, tangan yang dihulur untuk membantu antara satu sama lain terutamanya yang sangat memerlukan wajar dipuji serta disokong.
“Dua projek komuniti oleh Shell ini wajar mendapat pujian. Satu daripadanya ‘Sudut Barangan Komuniti’ yang menjual barangan makanan asas dengan harga murah, jauh lebih murah dari yang ada di luar sana.
“Satu lagi ialah Community Food Box yang diletakan untuk golongan memerlukan mengambil keperluan asas secara percuma hasil derma masyarakat umum.
“Ini juga usaha Kementerian dalam mewujudkan harga barangan rendah sebagai pilihan tangani kos sara hidup khususnya keadaan pandemik Covid-19 yang sebahagian rakyat kita terjejas dan boleh mendapat manfaat dari program seumpama ini,” katanya selepas melawat Stesen Minyak Shell Presint 18, di sini.
Turut hadir Pengarah Urusan Shell Malaysia, Shairan Huzani.
Menurut Hasnol, beliau melihat inisiatif tersebut sebagai entiti perniagaan yang bertanggungjawab, prihatin dalam menyumbang kepada masyarakat setempat.
Tambah beliau, ketika ini Shell mempunyai lebih 600 cawangan di seluruh negara dan inisiatif seperti ini akan membolehkan lebih ramai penduduk negara ini mendapat manfaat.
Hasnol berkata, kementeriannya menyahut baik inisiatif itu dan berharap lebih banyak entiti perniagaan akan tampil melakukan usaha yang sama pada masa hadapan.
“Ini bukan sahaja kemudahan untuk pengguna terutamanya golongan memerlukan dihimpit kekangan hidup sebaliknya juga memupuk kesedaran pengguna untuk membantu golongan kurang berkemampuan juga.
“Inisiatif ini juga bertepatan dengan hasrat kerajaan mahu mengurangkan kos sara hidup rakyat terutamanya yang terkesan dengan pandemik Covid-19 seperti pelaksanaan program ‘Food Bank Malaysia’ yang diterajui KPDNHEP,” ujarnya. -MalaysiaGazette