Home Utama Agong berangkat ke Abu Dhabi untuk lawatan khas lima hari

Agong berangkat ke Abu Dhabi untuk lawatan khas lima hari

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat ke Abu Dhabi untuk lawatan khas lima hari ke Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata lawatan khas berkenaan adalah atas jemputan Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.

“Agenda utama lawatan khas ini melibatkan perbincangan Al-Sultan Abdullah bersama Sheikh Mohamed Zayed dan kepimpinan tertinggi kerajaan UAE berkenaan hasrat kerajaan UAE untuk menyumbang sebanyak 500,000 dos vaksin COVID-19 kepada Malaysia bagi tujuan ujian klinikal fasa ketiga di negara ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah juga akan berbincang mengenai usaha memperkukuh dan meningkatkan lagi kerjasama serta hubungan dua hala Malaysia-UAE dalam pelbagai sektor.

Pada lawatan khas itu, Yang di-Pertuan Agong antara lain dijadualkan berangkat menghadiri majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat, sekali gus meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra bersama diaspora Malaysia di UAE, serta berangkat melawat Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) dan Pusat Vaksinasi COVID-19 Abu Dhabi.

Bagi memastikan keselamatan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan wabak COVID-19, Ahmad Fadil berkata lawatan khas Seri Paduka adalah berlandaskan pengendalian dan tatacara-tatacara SOP yang ditetapkan kerajaan Malaysia dan UAE, meliputi semua majlis yang dihadiri Al-Sultan Abdullah.

“Berdasarkan SOP yang ditetapkan, Al-Sultan Abdullah dan delegasi telah menjalani ujian saringan COVID-19 empat hari (96 jam) sebelum berangkat ke Abu Dhabi dan akan menjalani ujian sama sebaik sahaja mendarat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi,” katanya.

Al-Sultan Abdullah dan delegasi juga akan menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum berangkat pulang dari Abu Dhabi dan sebaik mendarat tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sekembali ke tanah air kemudian, Seri Paduka akan menjalani kuarantin diri di Istana Negara selama 10 hari seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) manakala anggota delegasi menjalani kuarantin diri di lokasi ditetapkan KKM.

Ahmad Fadil berkata lawatan khas itu adalah lawatan ketiga Al-Sultan Abdullah ke Abu Dhabi. Lawatan pertama Al-Sultan Abdullah ke Abu Dhabi merupakan lawatan khas pada Jun 2019, diikuti lawatan peribadi atas jemputan Sheikh Mohamed Zayed pada November tahun sama.

Sheikh Mohamed Zayed melakukan lawatan khas ke Malaysia atas jemputan Al-Sultan Abdullah bersempena  Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai 2019.

UAE merupakan rakan dagang dan sumber eksport serta import terbesar Malaysia di rantau Asia Barat dengan nilai dagangan dua hala berjumlah AS$6.42 bilion (RM25.9 bilion) pada 2019.

— BERNAMA