SEPANG – Fasa kedua projek Mass Rapid Transit 1 (MRT 1) yang menghubungkan stesen Semantan dengan Kajang telah 99.5 siap dan pelancarannya dijadual dilakukan pada bulan depan.
Keseluruhan projek MRT 1 akan menghubungkan Sungai Buloh dan Kajang sejauh 51 kilometer.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikan fasa kedua itu.
“Ketika ini kita sedang membuat persiapan melakukan ujian memandu tren MRT bagi memastikan pergerakan tren tidak mengalami apa-apa kecacatan selepas dilancarkan kelak,” katanya.
Beliau menyatakan demikian selepas menyerahkan Jalur Gemilang kepada ketua delegasi kumpulan kedua yang terdiri daripada 49 kapten tren haji, Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Fasa pertama MRT dari Sungai Buloh ke stesen Semantan telah memulakan operasi pada 1 Disember 2016.
Azmi berkata, ketika ini pergerakan tren ke Kajang adalah melalui proses ujian yang sedang berjalan secara rutin sebelum pelancaran fasa kedua projek tersebut.
“Kita dalam mempersiapkan fasa kedua MRT ini turut memberi fokus kepada aspek keselamatan dan segala kemudahan selebihnya yang akan diselesaikan segera sebelum dibuka perkhidmatan kepada awam,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette