KUALA LUMPUR – Skim gaji anggota polis, termasuk elaun-elaun semasa, perlu dikaji kerajaan secara serius selaras cabaran semasa dalam skop kerja anggota keselamatan itu.
Kongres Kesatuan Kakitangan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berpendapat cadangan ini boleh mengelakkan anggota dan pegawai agensi keselamatan itu daripada terjerumus ke dalam jenayah salah laku.
Presidennya, Adnan Mat berkata, pihaknya merasakan skim gaji dan elaun semasa anggota polis tidak setimpal dengan bebanan kerja yang ditanggung oleh mereka.
“Sebagai contoh, anggota polis kebanyakannya bekerja lebih daripada masa yang normal bagi pekerja biasa.
“Purata bertugas anggota polis adalah kira-kira 12 jam sehari dan sekiranya ada operasi ia boleh mencecah sehingga 24 jam dan lebihan masa bertugas itu pula tidak boleh dituntut elaun kerja lebih masa.
“Ia belum mengambil kira dipanggil bertugas walaupun sedang bercuti dan CUEPACS tidak mahu disebabkan bebanan kerja yang berat dan tidak setimpal dengan gaji diterima menyebabkan anggota polis ini merasakan perlu melakukan ‘sesuatu’ yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Adnan, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan pelbagai pandangan serta maklum balas dikemukakan kedua-dua pihak.
Tambahnya, melalui pertemuan tersebut, beberapa perkara wajar diberi perhatian oleh kerajaan khususnya dalam soal menambah baik skim perkhidmatan anggota PDRM.
Katanya, seperti yang disebutkan oleh Abdul Hamid, gaji yang tidak setimpal boleh menggalakkan anggota polis menahan orang dan menjatuhkan hukum iaitu jadi ‘majistret jalanan’.
“Apabila kebajikan dan kesejahteraan anggota polis ini dijaga dengan sewajarnya, ia sudah tentu dapat membendung gejala rasuah dan salah guna kuasa.
“Dalam pada itu, CUEPACS juga mencadangkan agar lebih banyak perumahan atau kuarters untuk anggota polis dibina pada masa akan datang dan kuarters-kuarters lama yang sedia ada juga perlu diperbaiki dengan segera kerana kebanyakannya sudah tidak sesuai lagi untuk dihuni pegawai dan anggota.
“Pembinaan kawasan perumahan atau kuarters yang berhampiran dengan kawasan kerja juga boleh meningkatkan lagi kesejahteraan anggota polis kerana mereka tidak perlu untuk membeli atau menyewa rumah di kawasan yang jauh kerana faktor harga rumah yang tinggi.
“Sudahlah mereka ini bekerja lebih masa, terpaksa pula berulang alik jauh dari rumah dan CUEPACS percaya jika krisis kebajikan polis ini ditangani sebaiknya, masalah salah laku dan rasuah yang sering dikaitkan dengan pasukan keselamatan ini boleh dibanteras secara berkesan,” ujarnya. – MalaysiaGazette