Home Nasional Kedah perlu tuntut pampasan dari Kerajaan Persekutuan, bukan P.Pinang – PBAPP

Kedah perlu tuntut pampasan dari Kerajaan Persekutuan, bukan P.Pinang – PBAPP

Datuk Jaseni Maidinsa

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berpendapat Kedah harus mendapatkan pampasan yang adil dari Kerajaan Persekutuan dan bukannya Pulau Pinang, kerana menjadikan Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air di utara Semenanjung.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk Jaseni Maidinsa berkata air mentah dari Ulu Muda bukan hanya memberi faedah kepada 1.77 juta penduduk di Pulau Pinang tetapi, juga dinikmati oleh keseluruhan 4.2 juta penduduk di tiga negeri wilayah utara, termasuk Perlis dan Kedah.

Beliau berkata wawasan Kerajaan Persekutuan melalui projek Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) berasaskan kepada gabungan kekuatan Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak untuk menjadi pusat ekonomi dan hab teknologi bertaraf dunia tidak akan dapat dicapai tanpa jaminan bekalan air untuk semua negeri berkenaan.

“Sekiranya Kedah serius ingin memulihara Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air serantau, ia harus mendapatkan pampasan yang adil dari Kerajaan Persekutuan, dan bukan Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata kerajaan Pulau Pinang dan PBAPP telah secara terbuka menyatakan sokongan kepada Kedah untuk mendapatkan pampasan kerajaan Persekutuan bagi pemeliharaan Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air NCER sekiranya terma dan syarat tertentu bagi pemuliharaan dipenuhi.

Menurut  Jaseni, antara syaratnya adalah mewartakan 163,000 hektar kawasan hutan hujan di Kompleks Hutan Simpan Ulu Muda sebagai hutan simpan kekal di bawah Akta Perhutanan Negara 1984, dan mengenakan larangan sepenuhnya kepada semua aktiviti pembalakan dan perlombongan, termasuk perlombongan mineral elemen nadir bumi (REE).

“Sekiranya Kedah menerima terma dan syarat ini, kerajaan negeri Kedah boleh mengharapkan sokongan penuh dari kerajaan negeri Pulau Pinang dan PBAPP untuk berunding dan mendapatkan pampasan Persekutuan untuk pemeliharaan Ulu Muda, demi kepentingan NCER dan rakyatnya,” katanya.

Jaseni mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor Rabu lalu yang menuntut kerajaan Pulau Pinang membayar RM50 juta setahun untuk pengambilan air mentah dari Sungai Muda.

— BERNAMA