KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng mencabar Menteri Pengangkutan untuk membuktikan bila dan di mana beliau dan Anthony Loke memutuskan untuk menghentikan perkhidmatan feri Pulau Pinang.
Sebaliknya, Setiausaha Agung DAP itu menegaskan beliau dan Anthony telah berulang kali memaklumkan mereka tidak menentang untuk menambah kapal katamaran dengan syarat perkhidmatan feri yang ada dikekalkan.
Gua Eng mendakwa, Datuk Seri Wee Ka Siong terus menyebarkan pembohongan bahawa beliau telah membuat keputusan untuk menamatkan dan menggantikan perkhidmatan feri dengan kapal katamaran.
”Malah Anthony Loke baru-baru ini menafikan membuat keputusan seperti itu ketika beliau menjadi Menteri Pengangkutan.
”Bolehkah Wee menunjukkan bukti bila dan di mana kami berdua telah memutuskan untuk menghentikan perkhidmatan feri Pulau Pinang? Ini jelas adalah palsu,” katanya dalam kenyataan di sini.
Bekas Menteri Kewangan itu mendakwa MCA mengkhianati rakyat Pulau Pinang dengan taktik kotor oleh pemimpin parti itu di Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) kerana menamatkan perkhidmatan feri secara unilateral.
Ini ditambah pula dengan tindakan Pengerusi PPC, Tan Teck Cheng yang melahirkan rasa tidak puas hati di media Cina terhadap perubahan keputusan yang diumumkan oleh Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz di Parlimen semalam dengan mempersoalkan adakah Menteri Kewangan telah membuat keputusan yang salah.
”Ini menunjukkan perbezaan ketara antara MCA dan Pakatan Harapan (PH) di Pulau Pinang, di mana hanya PH yang komited untuk kesejahteraan rakyat, warisannya yang unik dan pandangan rakyat,” katanya,
Susulan itu, Guan Eng menegaskan, PH berwaspada terhadap politik kotor MCA dan memastikan perkhidmatan feri Pulau Pinang dapat diselamatkan mulai 1 Januari 2021.
Semalam Tengku Zafrul kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM30 juta kepada Pelabuhan Pulau Pinang bagi mengambil alih perkhidmatan feri.
Menteri Kewangan itu berkata, peruntukan yang diluluskan sebelum ini akan dibayar secara dua ansuran tahunan iaitu RM15 juta untuk tahun 2021 adalah termasuk dalam peruntukan yang diluluskan dalam Rang Undang-Undang Perbekalan 2021.
Guan Eng menambah, perkhidmatan feri Pulau Pinang yang berusia 126 tahun telah diselamatkan oleh tindakan Tengku Zafrul wajar dalam mendukung syarat secara bertulis yang pernah dibuat olehnya semasa menjadi Menteri Kewangan iaitu perkhidmatan feri mesti diteruskan.
”Kami menyedari kos dan kesukaran untuk mencari pengganti yang sesuai dan itulah sebabnya kami menegaskan bahawa beberapa feri yang sedia ada dibenarkan untuk beroperasi. Dengan kata lain, kapal katamar akan beroperasi selari dengan perkhidmatan feri yang ada seperti yang diamalkan oleh banyak negara seperti Hong Kong atau Kanada, di mana ada kewujudan bersama warisan dan kemodenan,” katanya. – MalaysiaGazette