Home Utama Permaisuri Agong berkenan ziarah jenazah Tun Rahah

Permaisuri Agong berkenan ziarah jenazah Tun Rahah

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah malam ini.

KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah malam ini.

Seri Paduka tiba di kediaman isteri Perdana Menteri kedua itu pada 8.40 malam.

Sebelum itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya telah tiba pukul 8.27 malam.

Raja Permaisuri Agong kemudiannya berangkat meninggalkan kediaman Allahyarhamah Tun Rahah pada 9.23 malam.

Kediaman Allahyarhamah malam ini  menjadi perhatian ramai apabila menteri-menteri dan ahli politik hadir memberi penghormatan terakhir sejak 8 malam tadi.

Antara yang turut kelihatan adalah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong yang juga Presiden MCA juga hadir.

Turut kelihatan Timbalan Menteri Alam Sekitar  Datuk Dr Ahmad Masrizal dan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Fuzi Harun juga turut kelihatan.

Kesemua yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dengan memakai pelitup muka, mendaftarkan diri dan saringan suhu sebelum memasuki kediaman.

Jenazah allahyarhamah tiba di kediamannya pada 6. 15 petang tadi selepas disahkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court.

Tun Rahah mendirikan rumah tangga dengan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein pada usia 19 tahun pada 4 September 1952 dan dikurniakan lima anak.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan lima putera iaitu Datuk Seri Najib, Datuk Ahmad Johari, Datuk Mohamed Nizam, Datuk Seri Mohd Nazir dan Datuk Mohamed Nazim.

Allahyarhamah dijangka akan di bawa ke Masjid Ar Rahah esok kemudian dikebumikan di Makam Pahlawan selepas waktu Zohor. -MalaysiaGazette