Home Pendapat Moratorium: Golongan M40 mangsa keadaan

Moratorium: Golongan M40 mangsa keadaan

Gambar hiasan

Kita mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk terus memberikan kemudahan lanjutan moratorium kepada kumpulan yang terkesan akibat serangan pandemik COVID-19, namun ramai yang terlepas pandang nasib kelompok masyarakat yang berpendapatan sederhana (M40) terutamanya penjawat awam.

Pelanjutan moratorium kali ini telah ditetapkan mengikut kumpulan bersasar dan bukan kepada semua kelompok anggota masyarakat secara sekali gus dan sama rata seperti ketika pelaksanaan moratorium yang pertama selama enam bulan sebelum ini.

Akibatnya, majoriti kelompok penjawat awam M40 dilihat menjadi mangsa keadaan kerana hampir tidak layak untuk menikmati moratorium kali ini.

Gambar hiasan

Syarat dan kriteria yang ditetapkan oleh pihak bank kali ini dilihat menyukarkan golongan M40 menikmati kemudahan ini. Antaranya, telah berdaftar dan merupakan penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) serta ada mengalamai masalah pengurangan pendapatan.

Hakikatnya, majoriti M40 tidak layak menikmati BPN dan bagi penjawat awam pula gajinya tetap sama dan tidak dipotong oleh kerajaan. Tetapi apakah itu bermaksud golongan M40 ini tidak terkesan dengan masalah ekonomi dan pandemik COVID-19 serta tiadk memerlukan bantuan?

Ironinya, ramai yang terlepas pandang betapa golongan M40 adalah antara kelompok anggota masyarakat yang sering menjadi mangsa kedaaan kerana acap kali dinafikan peluang untuk memperoleh apa jua bantuan yang disediakan atas alasan kadar gaji atau pendapatan yang diterima dalam kategori M40.

Harus diingat, walaupun pendapatan golongan ini lebih baik dari golongan berpendapatan rendah (B40) namun percayalah serangan pandemik dan kesan ekonomi pada ketika ini telah menyebabkan majoriti dari M40 sudahpun jatuh ke kategori B40 terutamanya penjawat awam yang hidup di bandar.

Jangan ingat bila gaji penjawat awam M40 tidak dipotong mereka boleh meneruskan keadaan hidup yang sama seperti sebelum serangan wabak.

Tegasnya, betul gaji tetap sama tetapi apakah kita lupa kos sara hidup terus meningkat ketika ini. Misalnya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) serta penutupan sekolah telah mengakibatkan ibu bapa dan anak-anak lebih banyak menghabiskan masa di rumah.

Hal ini secara langsung telah menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup setiap keluarga terutamanya dari aspek peningkatn bil utiliti seperti elektrik dan air kerana kadar penggunaan yang lebih tinggi bila semua ahli keluarga berada di rumah berbanding sebelum ini masing-masing keluar untuk bekerja dan bersekolah.

Jangan lupa peningkatan bil elektrik juga berpunca daripada keperluan ibu bapa bekerja dari rumah dan anak-anak pula perlu belajar dalam talian. Malah kos perbelanjaan untuk makanan juga dilihat semakin tinggi bila semua berada di rumah berbanding kita berada di luar.

Gambar hiasan

Maka golongan M40 dilihat cukup terkesan dan tersepit dengan situasi seperti ini.

Ironinya, walaupun kadar gaji atau pendapatan tetap sama tetapi kos perbelanjaan harian seisi keluarga terus meningkat dan ditambah pula sukar untuk mendapatkan pelanjutan moratorium.

Maka apa pilihan yang mereka ada untuk keluar dari masalah kesempitan kewangan yang sedang dihadapi? Kita khuatir ramai yang mula tertekan dan menghadapai pelbagai masalah kekeluargaan di samping ada yang mula meminjam dari ceti haram untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Justeru sebelum kedaaan menjadi lebih parah, kita berharap pihak bank dan kerajaan akan melihat perkara ini secara lebih teliti dan serius.

Kalau kita hendak membantu rakyat yang tersepit ketika krisis kesihatan dan ekonomi seperti ini, eloklah kita membantu semua secara menyeluruh kerana masing-masing tetap mempunyai masalah kesempitan kewangan dan ianya berbeza mengikut kelompok dan kadar pendapatan yang diterima.

Jangan pilih kasih atau membuat tanggapan serta andaian bahawa golongan tertentu seperti M40 mungkin tiada masalah dan tidak memerlukan sebarang bantuan.

Oleh,

Noor Mohamad Shakil Hameed, Penganalisis Isu Semasa.

* Artikel ini adalah pandangan peribadi penulisĀ