Home Sukan Salah tidak tolak kemungkinan tinggalkan Anfield

Salah tidak tolak kemungkinan tinggalkan Anfield

negatif Covid-19 dalam ujian saringan terbaharu oleh Mohamed Salah memberi keceriaan di kem Liverpool yang akan berdepan Atalanta dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah pagi Rabu ini.

LONDON – Mohamed Salah membuat pengakuan yang mengejutkan peminat dan dunia bola sepak apabila tidak menolak kemungkinan meninggalkan Liverpool untuk menyertai Real Madrid atau Barcelona.

Pemain Mesir itu secara terbuka meluahkan rasa kekecewaannya pada sidang media semalam sebelum diletakkan di bangku simpanan ketika menentang Crystal Palace malam ini.

Pemain berusia 28 tahun itu dilaporkan tidak menolak kemungkinan menyertai dua kelab gergasi La Liga Sepanyol itu pada masa depan.

Sejak menyertai skuad bimbingan Jurgen Klopp dari AS Roma pada 2017, dia berjaya menjaringkan 108 gol dalam 172 penampilan dan menjulang Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Perdana Inggeris.

Pencapaian itu mengaitkan pemain tersebut dengan Real Madrid dan Barcelona.

Ketika ditanya pemberita ahbar sukan Sepanyol sama ada dia akan menolak penghijrahan ke La Liga, Salah tidak menjawabnya.

“Saya rasa Real Madrid dan Barcelona dua kelab terbaik.

“Tiada siapa tahu apa akan berlaku di masa hadapan, tetapi buat masa ini saya fokus untuk menang semula gelaran EPL dan kejuaraan Eropah sekali lagi,” katanya.

Selepas diasak pemberita sekali lagi dengan soalan sama, Salah menegaskan keputusan terletak di tangan kelab sambil menambah ia adalah soalan sukar untuk dijawab dan mengulangi keputusannya bergantung kepada kelab.

Dia juga mengakui kecewa kerana tidak diberi tugas kapten pasukan pada aksi terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah menentang Midtjylland awal bulan ini.

Klopp sebaliknya menyenaraikan Salah dengan barisan pemain tidak berpengalaman yang menyaksikan beliau menjaringkan gol dalam aksi yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 dan mara ke pusingan kalah mati.

“Secara ikhlas saya sangat kecewa, saya mengharapkan jadi kapten pasukan dalam perlawanan itu tetapi ia keputusan jurulatih dan saya terpaksa akur,” katanya. – MalaysiaGazette