KUALA LUMPUR – AirAsia telah memulakan operasi penerbangan ke laluan baharu menghubungkan Kota Bharu, Kelantan ke pulau percutian Langkawi semalam dengan penerbangan AK6289 tiba di Langkawi tepat pada waktunya dengan 80% jumlah penumpang.
Selain penerbangan ini, AirAsia juga akan memulakan operasi ke tiga laluan baharu pada minggu hadapan, iaitu Pulau Pinang – Kiota Bharu dan Johor Bahru – Kota Bharu pada 22 Disember, dan Ipoh ke Langkawi pada 23 Disember lalu.
Ketua Pegawai Komersial airasia.com, Amanda Woo berkata, AirAsia komited untuk mengembangkan hubungan domestik dengan tambang rendah dan meningkatkan prosedur kebersihan dan kesihatan yang ketat untuk menawarkan pengalaman perjalanan yang diyakini oleh semua orang.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) yang bekerjasama untuk menyambut para tetamu yang menaiki penerbangan sulung kami dari Kota Bharu semalam.
”Jumlah penumpang kami membuktikan bahawa Langkawi adalah sebuah destinasi percutian yang popular dan kami berharap dapat menyambut para tetamu di laluan baharu kami yang lain tidak lama lagi,” katanya.
AirAsia juga menawarkan tambang rendah bermula RM21 sehala ke laluan baharu dan destinasi domestik yang lain.
Tempahan kini boleh dibuat di airasia.com dan super app bermula 21 Disember 2020 hingga 3 Januari 2021, untuk tempoh penerbangan antara 28 Disember 2020 dan 30 Jun 2021.
Semua tempahan penerbangan yang dibuat sekarang hingga 31 Disember 2020 dengan tempoh perjalanan dari sekarang hingga 31 Mac 2021 boleh membuat perubahan tarikh perjalanan tanpa had dan tanpa bayaran tambahan untuk pertukaran penerbangan melalui pautan Tempahan Saya. – MalaysiaGazette