PUTRAJAYA – Majlis walimatul urus anak lelaki Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tetap berlangsung meriah meskipun diadakan dalam suasana norma baharu.
Bermula dari pukul 11 pagi, majlis resepsi yang diadakan di hadapan bangunan Istana Kehakiman, Persiaran Perdana itu dikunjungi ribuan penduduk Putrajaya dengan kesemua tetamu hanya diberikan makanan dan cenderahati secara pandu lalu oleh petugas majlis tanpa mereka perlu turun dari kenderaan.
Majlis yang diadakan menerusi dua sesi dengan sebelah siang dibuat untuk jemputan penduduk sekitar Putrajaya dan pada sebelah malamnya pula majlis diadakan dengan jemputan bagi orang kenamaan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Tengku Muhammed Hafiz Tengku Adnan, 24, ketika ditemui berkata, majlis yang diadakan pada hari ini sememangnya mempunyai kelainan berikutan negara masih lagi berada dalam pasca pandemik Covid-19 dan kehadiran tetamu terpaksa dihadkan.
Katanya, bagi meraikan tetamu yang juga penduduk di wilayah itu, majlis yang dibuat secara pandu lalu itu merupakan jalan terbaik bagi mengelakkan penularan jangkitan wabak berkenaan.
Tengku Muhammad Hafiz”Idea untuk mengadakan majlis secara pandu lalu ini datangnya dari ayahanda saya Tengku Adnan bagi memastikan ia dapat dijalankan mengikut SOP (Prosedur Operasi Standard) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Sepatutnya majlis ini dibuat pada Jun lalu tapi kemudian ditunda pula ke bulan Ogos.
“Jadi, disebabkan negara masih lagi berdepan dengan Covid-19, majlis ini tetap diteruskan pada hari ini namun, perlu diadakan secara norma baharu,” katanya yang merupakan pelajar tahun akhir jurusan kedoktoran dari Universiti Krida Wacana Christian, Jakarta Indonesia.
Beliau berkata, meskipun terpaksa melaksanakan majlis perkahwinannya dengan cara itu namun tetap meriah dengan kehadiran ramai tetamu serta rakan taulan.
Tambahnya, apa yang penting adalah keselamatan tetamu yang hendak diraikan dan beliau tetap bersyukur kerana majlis perkahwinannya dapat dijayakan walaupun telah tertangguh sejak enam bulan lalu.
Ketika ditanya dimanakah destinasi beliau dan isterinya, Oceane Iyril Alagia, 20, akan berbulan madu Muhammed Hafiz berkata, beliau hanya akan membawa isterinya itu ke Pulau Langkawi pada minggu depan.
Ini kerana katanya, jika beliau dan isterinya mengambil keputusan berbulan madu di luar negara mereka terpaksa menjalani tempoh kuarantin yang lama dan perkara itu sememangnya melecehkan.
“Saya rasa lebih baik berbulan madu dekat-dekat saja tidak perlu ke luar negara,” tambahnya. – MalaysiaGazette
semalam gumbira… harini tertunduk lesu kena 2 tahun….