KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memeterai Perjanjian Kerjasama Inovasi dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Pelaburan Australia (ASIC) untuk mempromosikan inovasi dalam perkhidmatan kewangan di negara masing-masing.
Dalam satu kenyataan, SC berkata, entiti itu dan ASIC akan bekerjasama rapat untuk berkongsi maklumat mengenai trend terkini dan isu pengawalseliaan dalam kewangan digital.
Kedua-dua pengawal selia juga akan memudahcara rujukan perniagaan-perniagaan inovatif yang ingin beroperasi dalam bidang kuasa masing-masing, serta meneroka projek-projek inovatif berpotensi yang berkaitan dengan pemakaian teknologi baru.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Pengerusi SC Tan Sri Ranjit Ajit Singh dan Pengerusi ASIC Greg Medcraft dalam Seminar Kewangan Global Salzburg yang juga dipengerusikan oleh Pengerusi SC.
Menurut Ranjit, perjanjian berkenaan merupakan satu pencapaian yang penting bagi sektor kewangan digital Malaysia serta merupakan satu perkembangan positif bagi perniagaan inovatif Fintech yang mampu berkembang dan mencapai skala yang lebih besar.
“Walaupun kita terus memacu inovasi baharu dalam pasaran modal, kita tidak boleh nafikan akan keperluan untuk mengurus risiko digital, dengan memberi pendekatan strategik pengurusan risiko, mengambil bakat baharu dalam bidang digital dan memperbaiki infrastruktur IT.
“Kerjasama antara SC dan ASIC dalam bidang kewangan digital akan memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan Australia dalam pembangunan dan pengawalseliaan pasaran modal,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Medcraft, kerjasama antarabangsa dalam bidang Fintech adalah penting untuk membantu perniagaan tempatan berkembang ke luar negara, dan meningkatkan pemahaman mengenai Fintech di rantau ini.
Sebagai sebahagian daripada agenda digital SC, pengawal selia sejak kebelakangan iniĀ telah memperkenalkan peraturan dan inisiatif seperti pendanaan ekuiti ramai (ECF), pembiayaan antara rakan setara (P2P), perkhidmatan pengurusan pelaburan digital (DIM), dan pelancaran Pakatan Komuniti FinTech (AFINity) untuk melibatkan komuniti teknologi kewangan yang semakin berkembang di Malaysia.- MalaysiaGazette