KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan terus mengukuhkan Pakatan Harapan (PH) serta meningkatkan kerjasama dalam kalangan pembangkang.
Pendekatan ini telah dilakukan sewaktu sesi Parlimen yang lalu, termasuk usaha Ketua Pembangkang menjemput semua wakil parti Pembangkang untuk duduk bersama membincangkan strategi menghadapi Belanjawan 2021 yang lalu.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, sejak parti itu ditubuhkan pada 1999 dan menempuh Pilihan Raya Umum (PRU) pada tahun itu serta PRU pada tahun 2004, 2008, 2013 dan 2018, Keadilan sentiasa mendukung prinsip kerjasama, persefahaman dan gabungan politik melalui Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan kini PH.
Menurutnya, selama tempoh itu, kerjasama, persefahaman dan gabungan politik ini berpegang kepada prinsip mendukung agenda Reformasi, menolak rasuah, kronisme serta kebobrokan yang berlaku dalam negara.
”Keadilan akan sentiasa menilai perkembangan politik semasa secara bersama dan akan meneruskan segala persiapan jentera dan perbincangan berkait PRU15 berpandukan penilaian tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat parti itu.
Kenyataan itu dibuat selepas Parti Amanah Negara mencadangkan pembentukan gabungan besar dalam kalangan parti-parti pembangkang.
Kerjasama tersebut penting dalam menghadapi PRU15 pada bila-bila masa.
Untuk rekod sidang Parlimen ke-14 berakhir pada 16 Julai 2023. – MalaysiaGazette