KUALA LUMPUR – Polis sedang menjalankan siasatan lebih mendalam berhubung ugutan tiga anggota kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang mahu membunuh Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, beliau memandang serius ugutan yang dilancarkan ke atas pegawai Polis Diraja Malaysia itu.
Tegasnya, perbuatan mengancam nyawa seseorang ada adalah satu jenayah serius dan polis sama sekali tidak akan berdiam diri.
“Polis tidak akan berkompromi dalam ancaman ini kerana mereka melancarkan ugutan mengancam nyawa. Mengancam nyawa seseorang adalah satu jenayah yang sangat serius.
“PDRM akan mengendalikan kes ini secara serius ke atasĀ individu-individu (anggota LTTE) yang ugut mahu bunuh (pegawai kanan polis),” katanya kepada MalaysiaGazette secara ringkas ketika dihubungi sebentar tadi.
Ayob Khan dalam sidang media pagi tadi mengesahkan beliau menerima ugutan itu dua minggu lalu menerusi panggilan telefon seorang individu kepada pegawainya.
Panggilan itu merupakan ugutan untuk membunuh Ketua Polis Johor.
Susulan itu, katanya, Polis Johor akan bekerjasama dengan Polis Selangor untuk mengenal pasti tiga individu berkenaan.
“Kita sedang buat siasatan. Ugutan bunuh bukan baharu bagi saya, tetapi saya tidak akan ambil ringan jika ia ditujukan kepada saya secara peribadi atau pegawai saya.
“Kita akan jalankan siasatan terperinci untuk kenal pasti suspek-suspek yang terlibat bagi mengambil tindakan susulan,” katanya pada sidang media hari ini. -MalaysiaGazette