Home Nasional Feri rosak punca Terminal Feri Kuah sesak

Feri rosak punca Terminal Feri Kuah sesak

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Keadaan sesak di Terminal Feri di Kuah, Langkawi semalam disebabkan penumpang dari sebuah feri yang rosak terpaksa diturunkan ke terminal itu.

Jabatan Laut Malaysia (JLM) dalam satu kenyataan memaklumkan, feri Langkawi Ferry 2 yang membawa 111 penumpang ke Kuala Perlis telah mengalami kerosakan kecil pada bahagian enjin menyebabkan ia bergerak perlahan pada kedudukan 2 batu nautika dari terminal feri berkenaan.

Akibat kejadian itu, kesemua penumpang yang berada di feri terbabit terpaksa diturunkan di terminal tersebut dan situasi itu telah mengakibatkan berlaku kesesakan di terminal feri itu.

“Operator feri telah mengarahkan Feri Langkawi Ekspres 1 untuk menggantikan perjalanan Langkawi Ferry 2 dengan membawa penumpang seramai 271 orang, manakala baki 67 orang telah dibawa oleh feri Marine Star II pada pukul 6.30 petang ke Kuala Perlis,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, pasukan penyiasat daripada JLM Wilayah Utara ditubuhkan bagi menyiasat insiden itu dengan memeriksa feri terbabit bersama Badan Klasifikasi dan Pemeriksa Kapal JLM sebelum dibenar beroperasi semula.

Ujarnya, JLM sentiasa peka dalam memantau pergerakan feri-feri di laluan berkenaan selain komited dalam memastikan jaringan pengangkutan tersebut selamat dan terjamin. – MalaysiaGazette