KUALA LUMPUR – Tercalon bagi kategori Penjaga Gol Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 20 Virtual, Samuel Somerville menganggap pencalonan kali ini begitu bermakna kerana menyifatkan musim 2020 adalah pencapaian terbaiknya bersama Pulau Pinang sehingga layak beraksi di saingan Liga Super 2021.
Bekas penjaga gol Johor Darul Ta’zim II (JDT II) ini hanya bolos 8 gol dalam aksi Liga Premier musim ini sekali gus meletakkan mereka di takhta liga untuk bergelar juara.
Namun, Somerville melihat antara calon yang menjadi kegemaran untuk berpeluang bergelar Penjaga Gol Terbaik 2020 adalah Farizal Marlias (JDT) berdasarkan pencapaiannya bersama Juara CIMB Liga Super itu pada musim ini selain lapan lagi calon lain yang mampu lakar kejutan iaitu Iqbal Suhimi (Kuching), Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (PJ City FC), Khairul Fahmi Che Mat (Melaka), Khairulazhan Khalid (Selangor), Remezey Che Ros (UKM FC), Sharbinee Allawee (Pahang), Suhaimi Husin (Terengganu FC II) dan Zamir Selamat (Kuala Lumpur).
“Satu langkah baharu untuk saya dalam industri ini apabila tercalon bersama nama-nama besar yang lain untuk kategori Penjaga Gol Terbaik dan semestinya ia takkan berlaku tanpa kerjasama pasukan sepanjang mengharungi musim 2020.
“Setiap pemain mestilah nak menang, tetapi untuk saya, saya tahu ramai lagi pencabar lain yang layak untuk menang, antaranya Farizal di mana saya tahu bagaimana beliau di atas padang dan selaku penjaga gol kebangsaan tidak mustahil beliau akan menjadi pilihan untuk menang.
“Tetapi, untuk saya, siapa pun yang akan menang nanti pastinya dia adalah yang benar-benar layak berdasarkan pencapaian yang telah dilakukan pada musim ini”, katanya.
ABK20 Virtual buat kali pertama membuka undian kepada penyokong dalam pemilihan pemenang bersama dengan pengundian juri professional yang terdiri daripada pemain, jurulatih dan media.
Senarai 50 calon telah diumumkan membabitkan lima kategori yang melibatkan 40 pemain dan 10 jurulatih Liga Malaysia bagi bersaing untuk kategori Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik dan Jurulatih Terbaik.
Pemenang bagi Anugerah Pasukan Terbaik yang turut dipertandingkan pula akan ditentukan oleh Jawatankuasa Teknikal. – MalaysiaGazette