TAHUN 2020 adalah satu tahun yang telah mengakibatkan ramai penduduk di dunia ini mengalami kehilangan, kekurangan dan kerugian. Hidup semua orang bagaikan terhenti seketika dek kerana wabak Covid 19 yang menyerang dunia. Bidang ekonomi dan sosial dunia terjejas teruk. Walaupun sudah setahun diserang pandemik ini, dunia seakan-akan tidak menunjukkan tanda-tanda untuk kembali ke suasana seperti dahulu.
Malaysia juga tidak ketinggalan dari mengalami pengalaman sebegini. Kita telah mengharungi pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan namun sehingga hari ini kes penularan wabak Covid 19 ini semakin hari semakin meningkat. Banyak peluang dan pengalaman hidup telah terlepas kerana wabak ini. Ini adalah termasuk dengan pengalaman pergi ke sekolah dan menyertai pelbagai aktiviti pembelajaran di dalam kelas mahu pun di luar kelas oleh anak-anak kita. Pada tahun 2020 ini, saya rasa anak-anak kita hanya sempat ke sekolah selama lebih kurang 3 atau 4 bulan sahaja. Selebihnya mereka hanya melakukan pembelajaran secara online di rumah kerana sekolah ditutup demi menyekat penularan Covid 19 di sekolah.
Sesi persekolahan tahun 2021 dijangkakan akan bermula pada 20 Januari 2021, lebih kurang 4 minggu sahaja lagi dari sekarang. Mengambil kira dengan catatan jumlah kes baru yang diumumkan setiap hari, saya secara peribadi menganggarkan bahawa sesi persekolahan tahun 2021 tidak akan bermula pada tarikh tersebut – jika bermula pun, hanya sebahagian kawasan dan negeri sahaja yang akan dibenarkan untuk menjalankan sesi persekolahan bagi tahun 2021. Ini amat membimbangkan kerana pada tahun 2020 ini sahaja, walaupun pembelajaran dilakukan secara online, kita tidak boleh menafikan keciciran ada berlaku dikalangan anak-anak ini. Terutamanya untuk anak-anak yang mempunyai kekurangan dan berasal dari keluarga yang tidak mampu untuk menyediakan kemudahan bagi mereka untuk meneruskan pembelajaran secara online.
Dalam jangka masa 4 minggu ini, saya kira Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah boleh merangka pelan kontigensi untuk menghadapi keadaan-keadaan yang tidak terduga juga mengemaskini SOP dan cara-cara untuk pembelajaran di dalam kelas dan secara online khususnya untuk para pelajar yang mengalami kekurangan sumber untuk meneruskan pembelajaran. KPM juga harus cakna dengan keadaan ekonomi kebanyakan ibubapa pada waktu ini dan tidak membuat pengumuman terlalu lewat mengenai sebarang perubahan melibatkan pembukaan sesi persekolahan tahun 2021. Ini kerana ibubapa perlu merangka perbelanjaan untuk membeli barangan keperluan sekolah yang baru untuk anak-anak mereka.
Memandangkan ramai dalam kalangan ibu bapa yang mungkin mengalami masalah kewangan akibat dari pandemik ini juga, pengumuman awal adalah sangat-sangat dihargai agar ibubapa boleh merancang perbelanjaan mereka untuk menyediakan kelengkapan anak-anak untuk ke sekolah. KPM juga harus menyediakan guru-guru dengan garis panduan dan cara mengajar yang lebih efektif dan kreatif untuk sesi 2021 ini demi untuk mengejar keciciran yang telah berlaku pada tahun 2020 ini. Banyak aspek yang perlu diberikan perhatian segera oleh KPM dalam masa 4 minggu ini selain mengambil kira tentang jumlah kes harian di semua kawasan bagi memudahkan rancangan pembelajaran para pelajar dirangka dalam keadaan norma baharu ini.
KPM juga boleh mengadakan perbincangan bersama guru-guru agar lebih memahami suara hati dan cara yang lebih baik untuk sesi pembelajaran pada tahun 2021 ini kerana bagi saya guru-guru ini lebih arif untuk menentukan cara dan kaedah yang efektif untuk sesi pembelajaran bagi tahun 2021. Guru-guru semestinya mempunyai cabaran besar untuk mengejar silibus yang tercicir dan memantau perkembangan para pelajar untuk membendung jurang keciciran yang berlaku antara pelajar.
Tumpuan sememangnya perlu diberikan kepada pelajar yang berada di luar bandar dan yang kurang kemampuan. Selain itu KPM juga harus menyedari hakikat kemungkinan ada ibubapa yang tidak bersedia untuk menghantar anak mereka untuk bersekolah dan memilih untuk kaedah “home school”. KPM perlu terbuka dengan kaedah ini dan mungkin perlu menyediakan garis panduan dan silibus serta cara bagaimana pembelajaran secara “home school” ini perlu dilaksanakan. Mungkin KPM perlu mengadakan kursus untuk ibubapa ataupun tutor persendirian bagi menyediakan mereka tentang cara untuk mengajar, silibus dan sebagainya serta mungkin meletakkan sekolah terdekat di rumah pelajar sebagai pusat pemantauan pembelajaran “home school” ini.
KPM kini tidak boleh membuang masa walau sesaat pun kerana banyak yang telah anak-anak ini rugi untuk tahun 2020 ini. Ini belum lagi kita bercerita mengenai anak-anak yang tercicir di peringkat pra sekolah juga anak-anak pendidikan khas yang bersekolah di sekolah kerajaan.
Saya memohon agar KPM segera melakukan apa yang perlu dilakukan. Keciciran ini akan memberi kesan kepada masa depan anak-anak kita. Mereka adalah generasi yang akan mewarisi negara ini. Kita perlu menyediakan mereka dengan pendidikan yang lengkap waima apa pun keadaan yang melanda dunia.
Noor Suhana Ishak