Home Pendapat Penuaan masyarakat: Iimplikasi krisis kesihatan, ekonomi

Penuaan masyarakat: Iimplikasi krisis kesihatan, ekonomi

Gambar hiasan

DUNIA menuju ke arah penuaan masyarakat. Berdasarkan unjuran United Nations, populasi masyarakat yang berumur 65 tahun dan ke atas berkembang dengan lebih pantas berbanding kelompok umur yang lebih muda. Unjuran pada tahun 2019 menunjukkan bahawa, satu daripada 11 individu merupakan mereka yang berumur 65 tahun ke atas. Nisbah ini menunjukkan jumlah populasi warga emas melangkau 16 peratus dalam kelompok 7.7 bilion populasi dunia.

Peratusan populasi warga emas dianggarkan akan terus meningkat di mana unjuran untuk tahun 2050 menunjukkan bahawa nisbah warga emas bersamaan dengan satu per enam individu. Unjuran United Nations juga menunjukkan bahawa kelompok warga emas yang berumur 80 tahun dan keatas akan meningkat tiga kali ganda berbanding tahun 2019, daripada 143 juta orang kepada 426 juta orang pada 2050. Keadaan ini disumbang oleh beberapa faktor seperti penurunan kadar kesuburan dan peningkatan kadar umur individu.

Berdasarkan laporan Pew Research Centre, kadar kesuburan global dijangkakan mempunyai nisbah 1.9 kelahiran per wanita menjelang 2100, jangkaan kadar kesuburan ini adalah lebih rendah berbanding tahun 2020, iaitu pada nisbah 2.5 kelahiran. Tren peningkatan jumlah populasi warga emas ini turut disumbang oleh gaya hidup masyarakat moden. Berdasarkan andaian teori pemodenan, individualistik menjadi intipati utama kebanyakan individu berbanding kolektivistik yang mempertahankan elemen tradisional dengan memberi penekanan kepada kepentingan struktur sosial-budaya kekeluargaan. Bagi individualistik, keutamaan individu adalah asas kehidupan ditambah lagi dengan kekangan soiso-ekonomi yang memerlukan mereka
untuk memenuhi keperluan peribadi terlebih dahulu berbanding orang lain.

Misalnya untuk Malaysia, kadar taraf hidup kini berada pada tahap $11,684 mengikut perkiraan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita. Keadaan semasa sosio-ekonomi setiap individu menjadi lebih tertekan berikutan daripada kejadian penularan pandemik COVID-19 yang melanda setiap pelusuk dunia. International Monetary Fund
(IMF) memberi amaran bahawa kedudukan ekonomi dunia sedang terancam dan keadaan ini akan berterusan untuk satu tempoh yang tidak pasti. Malah, perkembangan ekonomi global dijangkakan negatif dan dan paling buruk pernah dialami dunia sejak Great Depression 1930. 

Krisis ekonomi akibat pandemik COVID-19 ini disifatkan sebagai The Long Ascent (pendakian yang panjang) kerana dijangkakan akan memberi kesan jangka panjang kepada kedudukan ekonomi global dan memerlukan tempoh yang panjang untuk proses pemulihannya.

Kombinasi krisis pandemik dan krisis ekonomi ini secara tidak langsung memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat, termasuklah golongan warga emas. Maka, tidak mustahil sekiranya, tanpa mengira latar belakang umur, keadaan status ekonomi atau perbezaan latar belakang demografi seseorang individu itu, mereka secara tidak langsung merupakan ‘mangsa keadaan’ kepada krisis kesihatan-ekonomi dunia ini.

Senario ini sekali gus memberi amaran bahawa, halatuju dasar sosial negara perlu diperhalusi secara teliti dan merangkumi pelbagai aspek agar pelan pembangunan negara bersifat inklusif dan saksama, meskipun negara sedang melalui fasa ketidakstabilan dan ketidaktentuan ekonomi di peringkat global, rantau dan nasional.

Mujur pada ketika ini, Malaysia mempunyai sistem kebajikan yang boleh diklasifikasikan sebagai baik dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan warganya, khususnya kepada golongan warga emas. Kemudahan yang disediakan sama ada dalam bentuk kebajikan khusus kepada populasi ini seperti bantuan kewangan, penyediaan Pusat Aktiviti Warga Emas dan bantuan alat tiruan/sokongan, dan yang bersifat perlindungan universal, tanpa mengira kumpulan umur seperti perkhidmatan penjagaan kesihatan, pengangkutan, rekreasi dan riadah serta perolehan maklumat.

Malah Belanjawan 2021 turut memberi manfaat kepada penjagaan kebajikan kepada warga emas. Antara jenis bantuan yang disediakan yang termaktub dalam Belanjawan 2021 seperti Bantuan Khas Kewangan Bersasar sebanyak RM300 one-off untuk pesara kerajaan dan juga untuk veteran yang tidak berpencen, Bantuan Kebajikan Warga Emas berjumlah RM500 sebulan, yakni peningkatan sebanyak RM150 berbanding tahun sebelumnya.

Di samping itu juga, kerajaan juga menyediakan inisiatif tidak langsung yang mampu membantu  golongan warga emas seperti potongan cukai tambahan kepada majikan yang menggaji warga emas usia dan potongan ini dilanjutkan sehingga 2025, Bantuan Kewangan Tahunan berjumla RM50,000 untuk pengoperasian Pusat Aktiviti Warga Emas kendalian organisasi bukan kerajaan serta had pelepasan cukai bagi rawatan perubatan keperluan khas penjagaan ibu bapa dinaikkan dari RM5,000 kepada RM800.  Di samping iu juga, kerajaan turut menyediakan saguhati sebanyak RM400 untuk
sukarelawan dan RM80 untuk klien di bawah inisiatif Program Khidmat Bantu di rumah Warga Emas.

Namun, persoalan di sini, adakah bantuan-bantuan sebegini bersifat lestari? Terjaminkah penjagaan kebajikan warga emas di Malaysia? Mampukah kita menyahut agenda transformatif Sustainable Development Goals (SDGs) dengan janji utamanya Leave no one behind? Bagaimana masa depan kesejahteraan dan kebajikan warga emas nanti?
Perancangan dan strategi negara untuk tahun-tahun seterusnya harus menggarap keutamaan golongan warga emas dalam dasar sosial dan pembangunan negara. Langkah awal ini penting sebagai persediaan dalam menghadapi fenomena penuaan masyarakat yang dijangkakan berlaku untuk tempoh kurang daripada 50 tahun daripada sekarang.

Pengukuhan sistem kesihatan, jaringan sosial serta perlindungan asas kepada golongan warga emas harus dimulakan dari sekarang dan ditambah baik dari semasa ke semasa mengikut kewajaran keperluan dan kehendak warganya serta kapasiti kerajaan.
Mana tahu, anda mungkin salah seorang daripada populasi warga emas di era penuaan masyarakat kelak dan ini mungkin apa yang anda sangat perlukan pada ketika itu.

Oleh: Dr Nur Hairani Abd Rahman
Pensyarah Kanan / Penganalisis Dasar
Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik
Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran
Universiti Malaya
Kuala Lumpur.