Home Nasional 10,000 bakul makanan untuk Sabah diterbangkan

10,000 bakul makanan untuk Sabah diterbangkan

Sebahagian barang sumbangan ditolak masuk ke dalam kapal kargo pada Majlis Penghantaran Sumbangan Bakul Makanan ke negeri Sabah sempena Program Kembara Prihatin Negara (KPN) dengan kerjasama Kementerian Pertahanan dan Syarikat Korporat di Lapangan Terbang Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) Subang, Selangor. foto AFIQ HAMBALI, 22 DISEMBER 2020.

SUBANG – Sebanyak 10,000 bakul makanan akan diterbangkan ke Sabah dalam masa seminggu di bawah program Kembara Prihatin Negara (KPN) untuk membantu rakyat yang terjejas akibat Covid-19 di negeri itu.

Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun berkata, program ini hasil kerjasama sumbangan yang diberikan oleh beberapa syarikat korporat iaitu Yayasan Sime Darby, Sime Darby Plantation, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Maxis.

“Kami di kementerian menerima banyak permohonan daripada Sabah khususnya dan sumbangan daripada syarikat-syarikat korporat sudah pasti dapat membantu meringankan bebanan kewangan dalam kita menyalurkan bantuan yang memerlukan di Sabah,” katanya ketika sidang media.

Terdahulu Rina hadir ke Pangkalan Udara Subang untuk menyaksikan sendiri proses kotak-kotak makanan yang bakal diterbangkan di negeri bawah bayu itu hari ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun ketika mendengar penerangan pada Majlis Penghantaran Sumbangan Bakul Makanan ke negeri Sabah sempena Program Kembara Prihatin Negara (KPN) dengan kerjasama Kementerian Pertahanan dan Syarikat Korporat di Lapangan Terbang Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) Subang, Selangor. foto AFIQ HAMBALI, 22 DISEMBER 2020.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Rina berkata, KPN yang diwujudkan pada November lalu telah mengadakan 276 program bantuan di seluruh negara.

Bukan hanya menyalurkan bantuan, KPN juga turun padang dengan menyediakan kaunter-kaunter untuk menguar-uarkan inisiatif Kementerian Pembangunan, Wanita dan Masyarakat dan kementrian yang lain.

“KPN ini bukan sahaja menyalurkan bantuan tapi juga kita sediakan kaunter aduan berkenaan keperluan makanan, inisiatif-inisiatif di bawah kementerian dan kementerian lain. Sebagai contoh kita ada kaunter bergerak untuk Jabatan Tenaga Kerja kepada mereka yang memerlukan peluang pekerjaan dan sebagainya.

“Kita turun padang berbanding orang ramai yang perlu datang kepada pejabat JKM,” tambahnya. -MalaysiaGazette