KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau akan menjadi antara individu pertama menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi meyakinkan rakyat bahawa vaksin yang diperoleh negara selamat dan berkesan.
Perdana Menteri berkata ini akan diikuti oleh petugas barisan hadapan sebelum diberikan kepada kumpulan sasaran iaitu kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas serta penghidap penyakit tidak berjangkit dan penyakit saluran pernafasan kronik.
Beliau berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin yang telah ditubuhkan dan dipengerusikan bersama oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin akan memastikan bekalan vaksin dapat diperoleh pada kadar segera.
Muhyiddin berkata demikian dalam video perkembangan terkini berhubung pemberian vaksin COVID-19 untuk rakyat Malaysia yang disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia.
Menurut perdana menteri, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan akan terus memantau keberkesanan dan keselamatan vaksin itu dalam kalangan penerima.
“Kita perlu menyesuaikan diri dengan norma baharu kerana virus ini telahpun berada dalam komuniti,” katanya.
Muhyiddin turut mengingatkan rakyat supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dan mengamalkan kebiasaan seperti kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal.
— BERNAMA