SINGAPURA – Singapura menjadi negara pertama Asia yang menerima vaksin Pfizer dan BioNTech selepas penghantarannya selamat tiba semalam.
Vaksin tersebut dibawa khas dalam penerbangan SQ7979 Singapore Airlines (SIA).
Vaksin tersebut diterima oleh Menteri Pengangkutan, Ong Ye Kung dan dibawa ke ‘Singapore Airport Terminal Services Limited’ (SATS) untuk penyimpanan.
Perdana Menteri Lee Hsien Loong menzahirkan rasa gembira dengan penghantaran pertama vaksin Covid-19.
Di Facebook, beliau mengucapkan terima kasih kepada agensi dan pekerja yang menjayakan penghantaran vaksin ini.
“Ini adalah tahun yang panjang dan sukar.
Saya berharap berita ini dapat memberi semangat kepada rakyat Singapura pada musim perayaan ini dan kekal optimis pada tahun 2021,” katanya.
Vaksinasi ini akan dilakukan secara sukarela.
Namun keutamaan akan diberikan kepada mereka yang berisiko tinggi, seperti pekerja barisan hadapan dan pekerja kesihatan, serta orang tua dan mereka yang mudah terdedah. – MalaysiaGazette