Home Nasional Covid-19: Promosi hebat percutian tarikan rakyat rentas negeri

Covid-19: Promosi hebat percutian tarikan rakyat rentas negeri

Rentas negeri dan daerah masih dikekalkan termasuk dalam negeri PKPB.

KUALA LUMPUR – Meskipun kerajaan memberi kelonggaran untuk rakyat merentas negeri, namun masih ramai memilih untuk tidak berbuat demikian.

Kaji selidik terkini Pusat Penyelidikan Undian UCSI mendapati lebih separuh responden yang mengambil bahagian memilih untuk tidak merentas negeri sempena cuti hujung tahun ini.

Daripada 1,289 orang responden, sebanyak 63.1% (816 orang) akui tidak mempunyai perancangan merentas negeri untuk melancong manakala 36.9% (477 orang) lagi sebaliknya.

Keputusan ini menunjukkan kesedaran yang tinggi dalam kalangan orang awam terhadap risiko bercuti dengan merentas negeri ketika pandemik Covid-19 melanda dunia.

Namun mungkin juga kerana tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang panjang menjadi punca utama sebahagian responden memilih untuk merentas negeri bagi melepaskan tekanan terutama ketika musim perayaan.

Menurut kajian itu, daripada 36.9% responden yang memilih untuk merentas negeri itu, responden ditanyakan alasan keputusan mereka – dua alasan utama dipilih responden ialah Kelonggaran diberikan kerajaan terhadap larangan merentas negeri (57.95) dan Sudah lama tidak pergi melancong (55.6%).

Sementara alasan lain, Banyak promosi yang hebat jika melancong sekarang (38.4%), Melancong merupakan aktiviti tahunan saya (35.4%), Bantu ekonomi dengan melancong (32.3%) dan Merasa selamat untuk melancong sekarang (27.7%).

Bagi 63.1% responden yang memilih untuk tidak merentas negeri itu, rata-rata mereka berpendapat Keadaan masih tidak selamat untuk melancong sekarang (63.2%) dan Melancong mungkin akan menyebabkan kes Covid-19 semakin meningkat (55.1%).

Diikuti Terlalu banyak larangan dan SOP yang perlu dipatuhi untuk melancong (40.6%), Saya mempunyai bajet yang terhad untuk melancong (33.6%) dan Tidak yakin dengan kebersihan serta proses sanitasi di tempat awam (32.2%)

Demografi keputusan kali ini menunjukkan responden dari kumpulan umur yang lebih muda (25 tahun ke bawah) mempunyai keinginan yang rendah untuk melancong rentas negeri berbanding kumpulan umur yang lain.

Menariknya, responden dari kumpulan pendapatan isi rumah yang lebih tinggi mempunyai keinginan melancong merentas negeri yang lebih tinggi sempena cuti hujung tahun ini. – MalaysiaGazette