KUALA LUMPUR – Kajian yang dijalankan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) mendapati kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mencegah penularan Covid-19 dalam kalangan rakyat Malaysia adalah tinggi.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kajian tersebut menunjukkan hanya sebilangan kecil sahaja yang masih tidak mematuhi SOP.
Katanya, kajian tersebut menunjukkan 89.2 peratus rakyat Malaysia mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap kempen pembudayaan norma baharu.
“Lebih menarik 77.5 peratus rakyat Malaysia merasakan peranan masyarakat dalam menangani penularan Covid-19 adalah sangat penting.
“Ini adalah satu petanda baik bahawa orang ramai sedar akan kepentingan mematuhi SOP dalam menjaga keselamatan diri dan keluarga,” katanya semasa sidang media hari ini.
Menurut Ismail Sabri, kajian yang dilakukan pada Ogos sehingga Disember menunjukkan 96.7 peratus rakyat Malaysia mematuhi arahan memakai pelitup muka manakala 90 peratus mengamalkan penjarakan fizikal dan 88.7 peratus mematuhi saranan untuk mencuci tangan menggunakan sabun.- MalaysiaGazette