Home Nasional Kit Siang tolak undangan KJ, akan hadir jika PM buat sidang media

Kit Siang tolak undangan KJ, akan hadir jika PM buat sidang media

Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, beliau tidak berada di Kuala Lumpur atau di Putrajaya untuk menghadiri sidang media yang dibuat oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin hari ini berhubung isu harga vaksi Pfizer’s Covid-19.

Dalam kenyataannya di laman blognya, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada Khairi kerana mengundang beliau untuk hadiri ke sidang media tersebut.

“Saya tidak berada di Kuala Lumpur dan tidak akan berada di Putrajaya untuk menghadiri sidang akhbarnya, ini kerana saya percaya bahawa wartawan Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia dan dapat mengendalikan sidang media Khairy dengan baik,” katanya.

Kit Siang turut melahirkan harapannya agar Khairy dapat memberitahu rakyat Malaysia tentang perbezaan harga vaksin Covid-19 yang dibeli oleh Malaysia berbanding negara-negara lain seperti Belgium dan Singapura.

Dan yang lebih penting lagi, katanya, Khairy perlu mengumumkan bahawa vaksin akan diberikan secara percuma kepada semua rakyat Malaysia.

Menurut Kit Siang, beliau akan meluangkan masa jika Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan sidang media atau acara khas untuk mengumumkan strategi dan pendekatan memerangi gelombang ketiga pandemik Covid-19 di negara ini.

“Namun, sekiranya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersedia untuk mengadakan sidang media atau acara khas untuk mengumumkan bahawa kerajaan akhirnya bersedia untuk mengguna pakai pendekatan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan gelombang ketiga pandemik Covid-19, dan mengumumkan langkah-langkah baharu dalam strategi dan pendekatan ini, saya bersedia untuk meluangkan masa untuk menghadiri acara pengumuman tersebut jika dijemput,” katanya.

Kelmarin, Kit Siang mempersoalkan keputusan kerajaan yang memerlukan RM3 bilion untuk mendapatkan vaksin kepada 6.4 juta rakyat Malaysia.

Pemimpin veteran DAP itu membuat perbandingan dengan kenyataan seorang menteri dari Belgium yang mendakwa harga vaksin tersebut 20 kali ganda lebih murah daripada harga sebenar.

KJ jemput Kit Siang datang sidang media esok

Sementara itu, Kit Siang juga membangkitkan tentang dua senario iaitu Singapura menerima penghantaran pertama vaksin Covid-19 Pfizer, manakala di Malaysia Perdana Menteri masih di peringkat menandatangani perjanjian dengan AstraZeneca untuk 6.4 juta dos tambahan vaksin Covid-19.

Katanya, Singapura adalah negara Asia pertama yang menerima suntikan Pfizer-BioNTech selepas negara tersebut mengumumkan pada minggu lalu bahawa pihaknya telah meluluskan pemerolehan vaksin berkenaan dan berharap untuk memulakan program vaksinasi secara meluas pada minggu pertama Januari.

Negara republik itu juga, menurut beliau, memberi keutamaan kepada golongan berusia tua dan pekerja dalam sektor penting, dan menyasarkan untuk memberikan suntikan vaksin kepada seluruh penduduknya yang seramai 5.3 juta orang secepat mungkin.

“Bagaimana pula dengan Malaysia?

“Perdana Menteri baru saja menandatangani perjanjian untuk mendapatkan tambahan 10 peratus atau 6.4 juta dos vaksin Covid-19 untuk 40 peratus penduduk Malaysia menerusi Covax, Pfizer dan AstraZeneca,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Institut Penilaian dan Metrik Kesihatan (IHME) yang berpusat di Amerika Syarikat meramalkan peningkatan berterusan kes Covid-19 sehingga pertengahan Mac 2021, dengan lebih daripada 5,000 jangkitan setiap hari pada akhir Februari.

Sekiranya model IHME menjadi realiti, katanya, maka Malaysia akan menyertai 30 negara teratas di dunia dengan lonjakan jangkitan Covid-19 yang paling pantas, memandangkan tidak banyak daripada 25 negara di dunia yang mencatat kenaikan harian sebanyak 5,000 jangkitan Covid-19.

Menurut beliau, pada 17 Disember, Malaysia mengatasi China apabila mencatatkan jumlah terkumpul kes Covid-19 yang lebih tinggi, bertukar tempat dengan China dalam kedudukan negara dengan jumlah terkumpul kes Covid-19 tertinggi – Malaysia di tempat ke-79 dan China ke-80.

Kelmarin, katanya, pada 21 Disember, Malaysia berada di tangga ke-76 tertinggi di dunia dengan kes positif Covid-19, setelah mengatasi tiga negara lagi, iaitu Bahrain, Kenya dan Libya selepas merekodkan 2,018 kes Covid-19 baru semalam, menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 95,327 kes.

”Malaysia akan mengatasi lebih banyak negara dalam jumlah kes Covid-19 tertinggi, isyarat serius yang menunjukkan Malaysia berada di ambang kegagalan,” katanya.

Menurut beliau lagi, rakyat Malaysia semakin menunjukkan minat dan peduli terhadap cara kerajaan menangani pandemik Covid-19, bukan sahaja tentang pemerolehan, harga dan keselamatan vaksin Covid-19.

Malah, katanya, persoalan mengenai mengapa kerajaan tidak menerapkan pendekatan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” bagi mengawal gelombang ketiga wabak Covid-19 di Malaysia juga telah dibangkitkan. – MalaysiaGazette

 

2 Komen

  1. Tak payah jemput buang masa, apa yg kerajaan buat semua tak betul pada pandangan LKS dan pembangkang khususnya.

  2. singapura/belgium.. dua2 kategori negara maju.. cnfirm akn dilayan dulu.. lpas tu br company yg kelaurkan vaksin akan attend negara2 yg baru nak maju.. normal biasa dkt malaysia.. org kaya akan diberi perhatian dulu.. br org sederhana dan org miskin..

Comments are closed.