KUANTAN – Seorang pekerja kontrak warga Bangladesh maut manakala rakannya cedera selepas motosikal ditunggangi mereka melanggar kawanan lembu sebelum terbabas ke arah tiang elektrik di Jalan Merapoh-Kem Sungai Relau, Lipis kira-kira 166 kilometer dari sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata kejadian berlaku 10.20 malam, semasa mangsa Md Selim Ali, 28, dan rakannya Shalam Mohammad, 33, dalam perjalanan pulang ke rumah kongsi di Kem Sungai Relau, selepas tamat bekerja.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila Md Selim yang menunggang motosikal tidak menyedari sekumpulan lembu berada di tengah jalan, ekoran keadaan yang gelap dengan hanya ladang kelapa sawit di kiri kanan.
Azli berkata Md Selim disahkan maut di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Merapoh manakala Shalam patah tangan kiri dan dikejarkan ke Hospital Gua Musang, Kelantan untuk rawatan.
Mayat Md Selim dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat.
— BERNAMA