KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berharap agar semua pihak bersatu hati menggerakkan Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030 ke arah memartabatkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan kebudayaan di serata dunia.
Nancy berkata melalui dasar berkenaan, tumpuan akan diberikan kepada pelancongan lestari dan peningkatan pendapatan pelancongan yang merupakan indikator terpenting dalam memberi impak kepada ekonomi negara.
“Dalam hal ini, kita memilih untuk mengutamakan kualiti berbanding kuantiti, atau dalam istilah yang lebih mudah adalah kepada ‘quality tourist’ atau ‘high yield tourist’.
Dasar berkenaan kemudiannya dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Muhyiddin, DPN 2020-2030 yang dilancarkan hari ini bermatlamat menjamin kelangsungan industri pelancongan negara serta kembali menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terpilih di peringkat global.
— BERNAMA