Home Ekonomi PNB urus aset RM320.5 bilion

PNB urus aset RM320.5 bilion

Ahmad Zulqarnain Onn

KUALA LUMPUR – Aset di bawah pengurusan (AUM) Permodalan Nasional Berhad (PNB) sehingga November 2020 meningkat kepada RM320.5 bilion, dengan peningkatan 2.7 peratus daripada tahun kewangan sebelumnya susulan kesan daripada pandemik Covid-19.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, unit dalam edaran bagi kesemua 15 dana meningkat sebanyak 3.4 peratus kepada 263.2 bilion unit dengan lebih daripada 200,000 akaun baharu didaftarkan sepanjang tahun, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 14.5 juta akaun, dengan 12.2 juta pemegang akaun unik.

“PNB terus memberikan pulangan mampan kepada para pemegang unit, dengan mencatatkan jumlah pembayaran sebanyak RM11.2 bilion merentasi semua dana bagi tahun 2020 termasuk pengagihan pendapatan ASB yang diumumkan hari ini.

“Ini menjadikan jumlah terkumpul pengagihan pendapatan PNB sejak ditubuhkan adalah sebanyak RM211.4 bilion,” katanya pada sidang media pengumuman agihan pendapatan ASB secara virtual yang turut dihadiri Pengerusi PNB, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Dalam pada itu Ahmad Zulqarnain turut berkongsi tiga pencapaian utama PNB dalam persekitaran operasi yang sukar pada tahun 2020 dengan yang pertama katanya, syarikat itu terus membuat kemajuan yang baik dalam kepelbagaian portfolio serta menyelaras semula pelaburan secara strategik dari segi geografi dan kelas aset untuk mencapai matlamat pelaburan.

Ujarnya, pendedahan global agregat PNB telah meningkat kepada 11.9 peratus pada tahun ini berbanding 8.1 peratus pada 2019, dengan sumbangan pendapatan yang lebih besar dari aset pelaburan globalnya.

Kedua beliau berkata, prestasi kewangan PNB tetap berdaya tahan di sebalik lanskap yang mencabar apabila pihaknya dapat meningkatkan AUM secara berterusan kepada lebih daripada RM320 bilion.

Perkara itu jelasnya telah mencerminkan kepercayaan berterusan pemegang unit dan prestasi pengagihan pendapatan juga kekal kompetitif, mengatasi penanda aras dana masing-masing.

“Akhir sekali, PNB terus meningkatkan usaha memperkaya dan meningkatkan pengalaman pemegang unit dan memberikan nilai kepada mereka melalui rangkaian penawaran dan perkhidmatan produk baharu,” katanya. – MalaysiaGazette