Home Ekonomi China, Korea dan Vietnam dikenakan duti anti-lambakan

China, Korea dan Vietnam dikenakan duti anti-lambakan

Jumlah perdagangan Malaysia pada April 2018 meningkat 11.7 peratus tahun ke tahun kepada RM155.42 bilion berbanding penurunan sebanyak 3.5 peratus pada Mac, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Siasatan anti-lambakan import produk gulungan rata keluli bukan aloi disadur atau disalut aluminium dan zink dari tiga negara mendapati dagangan dari negara-negara tersebut dibawa masuk ke Malaysia dengan harga yang lebih rendah daripada harga yang dijual di negara-negara berkenaan serta telah menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan di Malaysia.

Siasatan itu melibatkan negara China, Korea dan Vietnam.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, susulan siasatan itu, kerajaan memutuskan untuk mengenakan duti anti-lambakan ke atas dagangan subjek bersamaan dengan nilai margin lambakan sebanyak 2.18 peratus hingga 18.88 peratus untuk China.

Korea 9.98% hingga 34.94 peratus dan Vietnam 3.06 hingga 37.14 peratus.

Kutipan duti anti-lambakan ke atas dagangan subjek ini akan dikuatkuasakan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia selama tempoh lima tahun mulai 12 Disember 2020 hingga 11 Disember 2025.

Pada 17 Mac 2020 Kerajaan Malaysia telah memulakan penyiasatan anti-lambakan ini selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 dan Peraturan-Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994 berdasarkan petisyen yang difailkan oleh NS Bluescope (Malaysia) Sdn. Bhd. yang mewakili industri tempatan yang mengeluarkan produk serupa.

Pengenaan duti anti-lambakan terhadap import dagangan subjek dari negara-negara tersebut dijangka akan menangani isu amalan perdagangan
yang tidak adil.

Pihak berkepentingan seperti pengeluar tempatan, pengimport, pengeluar/pengeksport asing dan persatuan-persatuan berkaitan dengan penyiasatan boleh mendapatkan salinan versi tidak sulit laporan mengenai Penentuan Muktamad dengan membuat permohonan bertulis kepada:
Pengarah
Seksyen Amalan Perdagangan
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Aras 9, Menara MITI
No. 7, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah
50480 Kuala Lumpur
Malaysia

– MalaysiaGazette